Friday, May 2, 2025
26.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pemangku Presiden Korea Selatan Han letak jawatan

    SEOUL, 1 MEI – Pemangku Presiden Korea Selatan, Han Duck-soo meletak jawatan hari ini dan menyatakan hasrat untuk bertanding dalam Pilihan Raya Presiden pada 3 Jun ini, lapor agensi berita Yonhap.

    Han mengumumkan keputusannya dalam satu ucapan kepada rakyat, sekali gus menamatkan spekulasi selama beberapa minggu mengenai sama ada beliau akan menyertai pilihan raya susulan pemecatan bekas Presiden Yoon Suk Yeol.

    “Memandangkan besarnya tanggungjawab yang saya pikul ketika saat genting ini, selepas mempertimbangkan secara mendalam dan teliti sama ada keputusan ini benar dan tidak dapat dielakkan, saya memutuskan untuk melangkah jika inilah satu-satunya jalan,” katanya dari kompleks kerajaan di Seoul.

    Han, yang pernah berkhidmat sebagai Perdana Menteri serta pernah menjadi Duta Korea Selatan ke Amerika Syarikat, merupakan calon pilihan dalam kalangan konservatif untuk mencabar Lee Jae-myung, calon presiden dari Parti Demokratik.

    Lee ketika ini mendahului saingan dalam tinjauan pendapat dengan sokongan kira-kira 40 peratus.

    “Ada dua jalan di hadapan saya.

    “Satu ialah menyempurnakan amanah besar yang sedang saya galas, dan satu lagi ialah melepaskan amanah itu demi menunaikan tanggungjawab yang lebih besar.

    “Saya akhirnya memilih untuk meletakkan jawatan agar dapat melakukan apa yang saya mampu dan wajib lakukan demi membantu negara mengatasi krisis yang sedang kita hadapi,” kata Han dalam ucapan yang disiarkan secara langsung.

    Beliau dijangka mengumumkan pencalonannya secara rasmi pada Jumaat.

    Penyertaan Han pasti mencetus rundingan penggabungan dengan Parti Kuasa Rakyat (PPP) berhaluan konservatif, yang akan memilih calon presidennya pada Sabtu. – Bernama

    Han Duck-soo berucap pada sidang media di Kompleks Kerajaan di Seoul, Korea Selatan, kelmarin. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda