Sabtu, 22 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pembangunan ekonomi sokong kesejahteraan

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 25 NOV – Industri insurans dan takaful memainkan peranan penting dalam pembangunan ekonomi dalam menyokong kesejahteraan sosial.

    Setakat hari ini, terdapat tujuh syarikat insurans dan empat pengendali takaful didaftarkan oleh Brunei Darussalam Central Bank (BDCB).

    “Dengan aset gabungan sebanyak $1.8 bilion, industri telah menyaksikan pertumbuhan premium yang stabil untuk 10 yang tahun lalu pada kadar purata 5 peratus.”

    Perkara itu dikongsikan oleh Pengarah Urusan Brunei BDCB, Hajah Rokiah binti Haji Badar semasa berucap selaku tetamu kehormat pada Hari Insurans dan Takaful yang berlangsung di Times Square Berakas, hari ini.

    Beliau seterusnya berkata, tidak dinafikan bahawa industri ini telah melangkah jauh, dan mereka percaya usaha kolektif kukuh yang ditunjukkan oleh Persatuan Insurans dan Takaful Brunei (BITA), memainkan peranan yang besar dalam pembangunan keseluruhan industri insurans dan takaful.

    Hajah Rokiah bergambar ramai semasa majlis berkenaan.
    Hajah Rokiah menyaksikan pameran semasa majlis berkenaan.

    “Namun begitu, industri harus sentiasa mengikuti perubahan dan tuntutan masyarakat moden kita. Permintaan yang semakin meningkat untuk perkhidmatan dalam talian, menginginkan produk terbaharu dan perkhidmatan tambah nilai dan kesedaran yang lebih tinggi untuk kewangan hijau adalah antara contoh utama.

    “Sehingga kini, hampir 250,000 polisi yang dikeluarkan di negara ini mewakili insurans mandatori, manakala insurans sukarela masih ketinggalan separuh.

    “Memperhatikan trend ini, masih banyak yang perlu dilakukan untuk meningkatkan kesedaran tentang nilai perlindungan,” tegas beliau.

    Turut hadir pada majlis itu ialah Pengerusi BITA, Haji Shahrildin bin Pehin Orang Kaya Lela Utama Dato Paduka Haji Jaya.

    Acara dianjurkan oleh BITA dengan kerjasama AIA Singapore Pte Ltd, Syarikat Insurans Audley Sdn Bhd, The Great Eastern Life Assurance Co Ltd, Syarikat Insurans Nasional Berhad, Insurans Islam TAIB General Takaful Sdn Bhd, Insurans Islam TAIB Family Takaful Sdn Bhd, Standard Insurance Sdn Bhd, Tokio Marine Insurance Singapore Ltd, Tokio Marine Life Insurance Singapore Ltd, Takaful Brunei AM Sdn Bhd dan Takaful Brunei Keluarga Sdn Bhd.

    Ia mengetengahkan pelbagai produk dan perkhidmatan insurans dan takaful dan orang ramai berpeluang mendapatkan maklumat lanjut mengenai keselamatan kewangan dan perlindungan.

    Pelbagai aktiviti juga telah diadakan seperti kempen derma darah yang dianjurkan oleh Jerudong Park Medical Centre, petak-petak kesihatan dan kecergasan oleh Pusat Promosi Kesihatan dan Kejohanan Kecergasan oleh Fitness Zone di mana orang ramai berpeluang memenangi baucar.

    Pada majlis itu, Pengerusi BITA turut menyampaikan cek bernilai $3,000 kepada wakil SCOT, Awang Muhammad Nasrullah bin Haji Puzian dan Dayang Ida Faizah binti Haji Ibrahim.

    Tahun ini, sebagai sebahagian daripada aktiviti kemasyarakatan dan tanggungjawab sosialnya, BITA mengambil bahagian dalam Inisiatif SCOTEducation 2022. Aktiviti anjuran SCOT itu merupakan projek yang diharap dapat mencapai dan membantu pelajar-pelajar di sekolah rendah dan menengah yang kurang bernasib baik di seluruh negara.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda