Saturday, February 1, 2025
22.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pembangunan inklusif sokong hak OKU

    Oleh Syahmi Hassan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 5 DIS – Pusat Sains Neuro, Strok dan Rehabilitasi Brunei (BNSRC) Pantai Jerudong Specialist Centre (PJSC) tidak terlepas memperingati Hari Antarabangsa Orang Kelainan Upaya (HAOKU) 2022 dengan majlis pelancaran sambutan dan pamerannya di Teater Kuliah, Tingkat RF, Bangunan PJSC, hari ini.

    Hadir selaku tetamu kehormat bagi melancarkan majlis tersebut ialah Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar yang juga Timbalan Pengerusi Lembaga Pengarah PJSC. HAOKU diperingati setiap 3 Disember untuk meningkatkan kesedaran tentang isu hilang upaya yang melibatkan individu kurang upaya.

    Ia juga bertujuan untuk mengumpul sokongan untuk maruah, hak, dan kebajikan umum mereka. Tema tahun ini iaitu Penyelesaian Transformatif bagi Pembangunan Inklusif: Peranan Inovasi dalam Memacu Dunia yang Terbuka dan Saksama menekankan lagi keperluan untuk penyelesaian transformatif meliputi tiga bidang berbeza iaitu pembangunan inklusif dalam pekerjaan; pembangunan inklusif dalam mengurangkan ketidaksamaan; dan sukan pembangunan inklusif sebagai kes contoh.

    Ketua Jabatan Rehabilitasi BNSRC, Dr Abang Muhammad Fahmy bin Abang Hepnie merangkap Pengerusi HAOKU 2022 dalam ucapan alu-aluannya mengongsikan antara rawatan yang PJSC dapat berikan kepada pesakit-pesakitnya termasuk pesakit kelainan upaya iaitu rawatan rehabilitasi atau pemulihan.

    “Perkhidmatan rehabilitasi memainkan peranan penting untuk pesakit kelainan upaya belajar untuk berdikari supaya boleh kembali berfungsi sebaik mungkin dalam masyarakat.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham melawat salah satu petak pameran semasa majlis berkenaan.

    “Antara pasukan rehabilitasi di PJSC adalah doktor, jururawat, jurupulih anggota, jurupulih cara kerja, jurupulih penelanan dan pertuturan, klinikal psikologi, jurupulih seni, pakar diet dan pekerja sosial perubatan,” jelasnya.

    Menurut beliau lagi, PJSC juga ada Certified Disability Management Professionals (CDMP) yang mempunyai kepakaran dalam pengurusan pemulihan orang kelainan upaya (OKU) untuk kembali bekerja.

    “Tetapi untuk mengoptimumkan fungsi dan menjayakan kembalinya seorang pesakit OKU dalam masyarakat memerlukan penglibatan dan kerjasama pelbagai pihak di dalam kerajaan, pihak bukan kerajaan dan juga swasta,” jelasnya.

    Beliau berharap dengan pertemuan mereka hari ini, selaras dengan tema HAOKU tahun ini, dengan mengadakan dialog bersama pelbagai pihak yang berkepentingan, inovasi untuk pembangunan inklusif dapat diperolehi.

    Kempen sedemikian diharapkan dapat meningkatkan pengetahuan tentang kepentingan memasukkan OKU dalam semua aspek kehidupan politik, sosial, ekonomi dan budaya.

    Majlis menyaksikan video temu bual pendek dengan pesakit yang berkongsi pengalaman dan cabaran hidup mereka yang kurang upaya dan klip video pendek yang ditulis oleh salah seorang pesakit di BNSRC, Awang Hadi Hisyamuddin bin Hamzah.

    Yang Berhormat Menteri Kesihatan kemudian turut melawat pameran yang diketengahkan oleh Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM), SMARTER Brunei, Majlis Paralimpik Brunei Darussalam dan jabatan-jabatan di bawah BNSRC iaitu Unit Psikologi, Terapi Seni, Fisioterapi, Terapi Pertuturan dan Bahasa, Terapi Pekerjaan, Jabatan Dietetik, Pekerja Sosial Perubatan dan Jabatan Kejururawatan.

    Hadir sama pada majlis itu ialah Pengarah Eksekutif PJSC, Dr Haji Mazrul Adimin bin Haji Awang Besar, pegawai-pegawai kanan, pegawai dan kakitangan Kementerian Kesihatan, organisasi bukan kerajaan dan PJSC.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda