SINGAPURA, 28 Julai – Pengurus Chelsea, Antonio Conte berkata bahawa ‘setiap hari’ dia mengadakan perbincangan dengan bos-bos kelab mengenai sasaran perpindahan ketika juara Liga Perdana itu mahu memperkuatkan lagi skuadnya.
Warga Itali itu dijangka memberikan penandatangan mahal, Alvaro Morata, permulaan pertama bersama Chelsea menentang Inter Milan bagi perlawanan persahabatan pra musim di Singapura esok, dan juga telah membelanjakan ke atas pemain pertahanan Antonio Rudiger dan Tiemoue Bakayoko dari Monaco.
Tetapi dengan kebanyakan pesaing Liga Perdana Chelsea berbelanja besar musim panas ini, Conte juga mahu membesarkan skuadnya musim ini kerana mereka perlu bersaing dalam bola sepak Liga Juara-Juara.
Kelab London itu telah dikaitkan dengan pemain antarabangsa England, Alex Oxlade-Chamberlain dari Arsenal dan Ross Barkley dari Everton oleh media British.
“Kami berbincang dengan kelab setiap hari mengenai cara untuk menguatkan lagi pasukan ini,” kata Conte, di Singapura.
“Kelab sangat memahami idea saya dan di mana yang perlu dikuatkan, jika ia boleh dilakukan, ia bagus. Jika tidak, kami meneruskan dengan cara ini.”
Conte berkata dia merancang untuk menurunkan kesebelasan terbaiknya menentang Inter, dengan Morata, ditandatangani dari Real Madrid minggu lepas, kemungkinan besar menerajui barisan serangan.
Morata dimasukkan sebagai pemain gantian di separuh masa kedua menentang juara Jerman, Bayern Munich dalam satu perlawanan persahabatan di Singapura, berjaya menghasilkan satu umpanan gol dalam kekalahan 3-2 itu.
Dengan perlawanan Community Shield menentang Arsenal berlangsung pada 6 Ogos di Wembley, Conte berkata: “Ia sangat penting untuk mempersiapkan pemain saya dengan kecergasan sebaik mungkin. Atas sebab itu, kami akan menurunkan kesebelasan utama (menentang Inter).” – AFP