Tuesday, February 11, 2025
31.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pembesar Negara sambut raya di Istana Nurul Iman

    Oleh Ak Zaki Kasharan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 23 APRIL – Istana Nurul Iman seperti pada tahun-tahun sebelumnya telah membukakan pintunya untuk orang-orang kenamaan dan diplomat asing di negara ini bagi Majlis Mengadap dan Junjung Ziarah bersempena Hari Raya Aidilfitri yang diraikan dengan penuh kemeriahan untuk menyambut hari kemenangan umat Islam.

    Media Permata berpeluang menemu bual beberapa wakil diplomat asing ke Negara Brunei Darussalam yang masing-masing merafakkan rasa syukur dan sangat gembira kerana dapat merayakan sambutan Hari Raya Aidilfitri di Istana Nurul Iman bersama Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha serta kerabat diraja.

    Duta Besar Istimewa dan Mutlak Kemboja ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Lim Hokseng semasa ditemui mengongsikan bahawa ia adalah kunjungan yang pertama kalinya bagi sama-sama meraikan sambutan Hari Raya Aidilfitri sejak berada di negara ini lebih sebulan yang lalu, di mana peluang tersebut dimanfaatkan untuk mengadap dan menjunjung ziarah serta menyembahkan ucapan Selamat Hari Raya Aidilfitri kehadapan majlis Baginda Sultan.

    Tuan Yang Terutama turut menjelaskan, meskipun Kemboja mempunyai populasi Muslim sebanyak 5 peratus daripada penduduk keseluruhan, beliau tidak pernah terlibat dalam meraikan sambutan Hari Raya di sana. Beliau jelas begitu teruja merasai pengalaman yang cukup berharga ini lebih-lebih lagi bersama kerabat diraja dan rakan-rakan lainnya di negara ini.

    Beliau menyatakan bahawa merasai sendiri tradisi yang cukup istimewa ini memberikannya rasa bertuah dan berbangga kerana dapat mempelajari sesuatu yang baharu dalam suasana yang cukup meriah dan menyenangkan.

    Yang Berhormat Awang Abdul Aziz menzahirkan perasaan syukur berpeluang bersua muka dengan Baginda Sultan serta kerabat diraja.
    TYT Lim Hokseng ketika menghadiri Majlis Mengadap dan Junjung Ziarah bersempena Hari Raya Aidilfitri yang berlangsung di Istana Nurul Iman buat kali pertama.
    TYT Tran Van Khoa dan isteri mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada seluruh penduduk dan rakyat di negara ini yang meraikannya.

    Sementara itu, Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Sosialis Vietnam ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Tran Van Khoa yang akan menamatkan perkhidmatannya ke negara ini tidak lama lagi semasa ditemui pada majlis berkenaan turut mengongsikan perasaan gembira dan teruja apabila berpeluang untuk bersua muka dengan Baginda Sultan dan kerabat diraja pada majlis berkenaan.

    Meskipun beliau telah berada di negara ini hampir tiga tahun, namun disebabkan pandemik COVID ia merupakan kali pertamanya meraikan Hari Raya di Istana Nurul Iman. Oleh itu beliau cukup teruja kerana berkesempatan merasai sendiri pengalaman yang cukup istimewa dan tidak dapat dilupakan tersebut.

    Pada kesempatan yang sama, TYT Tran Van Khoa yang berkunjung ke Istana Nurul Iman bersama isterinya turut tidak lupa mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada seluruh penduduk dan rakyat di negara ini yang meraikannya.

    Antara yang turut menghadiri Majlis Mengadap dan Junjung Ziarah Hari Raya Aidilfitri yang berlangsung di Istana Nurul Iman ialah ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN) dan semasa ditemui pihak media, ahli MMN, Yang Berhormat Awang Abdul Aziz bin Haji Hamdan mengongsikan perasaan teruja kerana berpeluang menghadiri majlis yang cukup bermakna tersebut.

    “Alhamdulillah dengan adanya majlis seumpama ini, ia sememangnya memperlihatkan lagi bahawa Kebawah Duli Yang Maha Mulia ingin mengeratkan lagi hubungan silaturahim bersama rakyat yang ada di negara ini,” kongsi Yang Berhormat Awang Abdul Aziz.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda