Thursday, January 9, 2025
23.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pembinaan sekolah moden bantu pelajar capai impian di Iraq

    BAGHDAD – “Kami tidak pernah menjangka dapat bekerja di sebuah sekolah seperti ini,” kata Pengetua Sekolah Model al-Musahama, Ammar Risan, di mana ia adalah sebuah sekolah moden yang baru dibina oleh sebuah syarikat China di timur Baghdad.

    Bagi para pelajar dan guru di al-Kargholiyah, sebuah daerah di ibu negara Iraq, impian memiliki sekolah dengan infrastruktur moden sebelum ini dianggap sukar dicapai.

    “Sebelum ini, kami menjalankan sekolah di bangunan usang yang hampir runtuh, sehingga memaksa kami mengosongkan dua bilik darjah,” kata Risan.

    “Pelajar-pelajar terpaksa menanggung banyak kesukaran semasa sesi pembelajaran di bilik darjah tersebut. Namun, keadaan kini berubah hasil usaha syarikat China yang membangunkan projek penting ini,” tambahnya.

    Sekolah Model al-Musahama dilengkapi 18 bilik darjah, enam makmal integrasi, sebuah padang bola sepak dan kemudahan pendidikan canggih lain, menjadikannya kebanggaan bagi Risan dan para pelajarnya.

    Para pelajar semasa menghadiri kelas di Sekolah Model al-Musahama di Baghdad, Iraq. – Xinhua
    Seorang pelajar semasa mendengarkan penerangan dalam kelas oleh guru sains di Sekolah Model al-Musahama di Baghdad, Iraq. – Xinhua
    Para pelajar menerima beg sekolah yang dihadiahkan kepada mereka. – Xinhua
    Para pelajar berbual semasa waktu rehat di Sekolah Model al-Musahama. – Xinhua
    Foto udara menunjukkan Sekolah Model al-Musahama di Baghdad, Iraq. – Xinhua

    Menurut Wissam Jawad, Timbalan Pengarah Jeneral Direktorat Pendidikan Rusafa ke-2, sekolah itu adalah yang pertama seumpamanya di kawasan itu dari segi tempoh pembinaan, kualiti kerja dan kelengkapan pendidikan.

    Pelajar tingkatan dua, Sajjad Haider berkata belajar di sebuah sekolah moden dengan bilik darjah lengkap, makmal canggih, dan kemudahan sukan membawa dia lebih dekat kepada aspirasinya untuk masa depan yang cerah.

    “Kami amat berterima kasih kepada syarikat tersebut kerana membina sekolah ini, yang menginspirasi kami untuk mencapai impian kami,” katanya.

    Zahraa Hafidh, seorang guru kimia, berkata penambahbaikan kemudahan sekolah telah memberi kesan positif kepada pencapaian pelajar.

    “Kami kini mempunyai makmal lengkap dengan semua peralatan penting, dan hasilnya kecekapan saintifik pelajar meningkat dengan ketara,” katanya.

    Pengurus Besar Syarikat Petroleum EBS, Ma Cheng, anak syarikat Zhenhua Oil, berkongsi pengalamannya ketika pertama kali melawat kampus lama sekolah itu.

    “Dinding yang retak, meja dan kerusi yang usang, serta pencahayaan suram benar-benar menyentuh hati kami,” kata Ma, yang mempunyai anak sebaya dengan para pelajar di situ.

    Dia berkata kanak-kanak adalah masa depan negara, dan pendidikan adalah asas untuk memastikan pembangunan mampan sesebuah negara.

    Menurut Tabung Kecemasan Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF), kira-kira 3.2 juta kanak-kanak usia sekolah di Iraq tidak dapat bersekolah akibat perang, kega-nasan dan kemerosotan sistem pendidikan.

    Dengan membina lebih banyak sekolah, Ma berkata, mereka berharap dapat menyumbang kepada pembinaan semula Iraq serta memupuk hubungan lebih erat antara rakyat China dan Iraq. – Xinhua

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda