Wednesday, April 24, 2024
30.6 C
Brunei

    -

    Pemburuan penyu eksotik punca kepupusan

    PROVIDENCE – Berenang dalam dua tong plastik di sebuah bilik kuarantin steril yang diterangi lampu di zoo Pulau Rhode, 16 ekor anak penyu yang baru menetas menimbulkan kebimbangan penyokong pemuliharaan, Lou Perrotti.

    Penyu spesies musk, terkenal kerana menghabiskan hayatnya di kawasan paya dan kolam dan mengeluarkan bau busuk apabila terancam, dirampas baru-baru ini dalam serbuan pihak berkuasa hidupan liar. Walaupun haiwan reptilia itu lazim ditemui, penjualan haram reptilia itu di internet amat membimbangkan Perrotti, yang mengetuai program pemuliharaan di Zoo Taman Roger Williams di Providence.

    “Kami menyaksikan peningkatan dalam pemburuan penyu,” katanya. “Keadaan menjadi makin teruk di mana kami melihat ribuan penyu meninggalkan Amerika Syarikat (AS) setiap tahun. Jumlah penyu tersebut tidak mampu bertahan kesan pemburuan sedemikian dari habitat asal.”

    Pakar perniagaan hidupan liar percaya pemburuan – didorong oleh permintaan meningkat untuk haiwan peliharaan di AS, Asia dan Eropah – telah menyumbang kepada kepupusan spesies penyu dan kura-kura air tawar. Satu kajian mendapati lebih separuh daripada 360 spesies penyu dan kura-kura hidup berdepan risiko kepupusan.

    Masalah itu telah mendorong puluhan cadangan dikemukakan untuk mempertingkat perlindungan penyu air tawar pada mesyuarat Konvensyen Perniagaan Antarabangsa dalam Spesies Terancam Fauna dan Flora Liar (CITES) di Panama pada 14 hingga 25 November.

    Lou Perrotti (kiri) bercakap dengan Harold Guise di depan tangki penyu musk yang dikuarantin selepas dirampas dalam serbuan hidupan liar di Providence. – AP
    Penyu musk diberi makan cacing darah ketika dikuarantin di Zoo Roger Williams selepas diselamatkan oleh pegawai hidupan liar di Providence. – AP
    Penyu hijau merangkak ke laut selepas dilepaskan di pantai Kuta, Bali, Indonesia. Penyu tersebut dirampas daripada pemburu semasa serbuan di pulau itu pada Disember 2021. – AP
    Lou Perrotti memegang seekor penyu musk di Providence. – AP
    Seorang pegawai kastam Malaysia memegang penyu yang dirampas selepas sidang media di pejabat kastam di Sepang, Malaysia. Pihak berkuasa Malaysia berkata mereka merampas 330 penyu eksotik dari Madagascar. – AP

    Angka sebenar mengenai perniagaan penyu, terutamanya perniagaan haram, adalah sukar diperoleh. Berdasarkan data Perkhidmatan Ikan dan Hidupan Liar AS, Tara Easter, calon kedoktoran di Universiti Michigan yang menyelidiki perniagaan itu, menganggarkan perniagaan eksport komersial untuk penyu lumpur di AS meningkat daripada 1,844 pada 1999 kepada kira-kira 40,000 pada 2017 dan penyu musk daripada 8,254 pada 1999 kepada lebih 281,000 pada 2016.

    Dalam cadangan CITES untuk mengharam atau mengehadkan perniagaan komersial dalam lebih 20 spesies penyu lumpur, AS dan beberapa negara Latin Amerika telah memetik data dari Mexico yang menunjukkan hampir 20,000 penyu dirampas, kebanyakannya di lapangan terbang Bandar Mexico, dari 2010 hingga 2022.

    Antara haiwan paling banyak diseludup di dunia, penyu air tawar sering menjadi sasaran rangkaian penjenayah yang menghubungkan pembeli di internet dan seterusnya membawa haiwan itu ke pasaran gelap di Hong Kong dan bandar lain di Asia.

    Dari sana, ia dijual sebagai haiwan peliharaan kepada pengumpul, untuk tujuan pembiakan komersial, makanan serta ubat tradisional. Di kebanyakan negara, perniagaan mempunyai kawalan lemah atau tidak dikawal langsung.

    Perniagaan menguntungkan itu – sesetengah spesies penyu menjadi idaman disebabkan karapas warna-warni atau rupa unik boleh dijual beribu-ribu dolar di Asia – menambah lagi ancaman yang telah pun dihadapi penyu. Ia termasuk perubahan iklim, pemusnahan habitat, kematian di jalan dan pemangsa yang memakan telur haiwan tersebut.

    Pemburu juga menimbulkan masalah, menurut pakar, kerana mereka menyasarkan spesies unik dan pembiakan penyu betina. Kebanyakan spesies penyu, yang boleh hidup selama beberapa dekad, tidak cukup matang untuk dibiak selama satu dekad atau lebih.

    “Kehilangan sejumlah besar penyu dewasa, terutamanya betina, boleh mengakibatkan kemerosotan mendadak penyu sehingga sukar pulih,” kata Dave Collins, pengarah pemuliharaan penyu Amerika Utara, Turtle Survival Alliance. “Penyu mempunyai tahap pembiakan amat rendah, hanya mengeluarkan beberapa biji telur setiap tahun.”

    Sejak 2018, Pihak Berkuasa Banteras Perniagaan Haram Penyu telah mendokumenkan sekurang-kurangnya 30 kes penyeludupan di 15 negeri. Ada di antaranya membabitkan puluhan penyu, sementara ribuan dalam kes lain.

    Pada awal tahun ini, hakim persekutuan di Carolina Utara menjatuhkan hukuman penjara 18 bulan dan denda AS$25,000 ke atas seorang lelaki kerana menyeludup penyu dan melanggar Akta Lacey. Undang-undang itu melarang penyeludupan ikan, hidupan liar atau tumbuh-tumbuhan yang diambil, dimiliki, dihantar atau dijual secara haram.

    Lelaki itu menyeludup 722 penyu eastern box – haiwan reptilia Carolina Utara – serta 122 penyu spotted dan tiga penyu tempayan menerusi orang tengah untuk pasaran di Asia. Lelaki itu menerima lebih daripada AS$120,000 hasil daripada jualan penyu tersebut, yang mempunyai nilai AS$1.5 juta di Asia.

    Perniagaan haram itu telah mendorong kerajaan mencadangkan penyenaraian 42 spesies penyu buat pertama kalinya di bawah CITES – termasuk penyu musk Amerika Utara.

    Walaupun sesetengah spesies seperti penyu eastern musk biasa ditemui, penyenaraian bermakna peniaga perlu mendapatkan permit untuk menjual penyu di luar negara. Jualan komersial spesies lain seperti penyu aligator snapping yang didapati di negeri Teluk AS dan boleh mencecah sehingga 200 paun, adalah terhad.

    “Terdapat permintaan yang besar dari Asia Tenggara untuk perniagaan makanan dan haiwan peliharaan, tetapi permintaan untuk haiwan peliharaan juga datang dari Eropah,” kata Harold Guise, polis alam sekitar yang mengendali kes penyeludupan.

    “Jelasnya, apabila kami bercakap mengenai spesies asli dihapuskan walaupun untuk haiwan peliharaan, ia memberi kesan besar. Pemerdagangan hidupan liar mempunyai kesan ke atas hidupan liar yang tidak dapat kami ukur sehingga ia telah berlaku. Kami perlu bertindak lebih awal.” – AP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Badak air betina disangka jantan

    TOKYO, 23 APRIL - Terperdaya oleh DNA dan tabiat tandas yang pelik, seekor badak air di Jepun yang disangka jantan selama tujuh tahun sebenarnya...