Monday, March 17, 2025
23.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pemenang fotografi dirai

    Oleh Sim Y. H.

    Gambar serahan PFNBD

    BANDAR SERI BEGAWAN, 3 DIS – Para pemenang Peraduan Fotografi sempena 50 Tahun Pertubuhan Fotografi Negara Brunei Darussalam (PFNBD) telah diraikan dan menerima hadiah masing-masing pada majlis penyampaian yang berlangsung di Dewan Teater PM Sharifuddin, Arkib Negara, baru-baru ini.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh PFNBD, di sini, hadir selaku tetamu kehormat dan menyempurnakan penyampaian hadiah kepada para pemenang peraduan ialah Setiausaha Tetap (Pentadbiran, Kewangan dan Estet) di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Pengiran Mohammad Amirrizal bin Pengiran Haji Mahmud.

    Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Yang Di-Pertua PFNBD, Haji Hamidun bin Haji Mohd Noor, pegawai-pegawai kanan KKBS, ahli-ahli PFNBD serta para pemenang yang diraikan.

    Peraduan fotografi itu dibahagikan kepada dua kategori iaitu Kategori A (Terbuka) dan Kategori B bagi ahli pertubuhan, Masterpiece.

    Bagi Kategori A, tempat pertama dimenangi oleh Awang Nordin bin Haji Barudin, tempat kedua Awang Muhammad Ikmal Hakim bin Abu Bakar, tempat ketiga Awangku Muhd Ridhwan bin Pengiran Haji Kamarulzaman, tempat keempat Awang Mohammad Khairul Ikhwan bin Pengiran Irwan dan Awang Abdul Hafiz bin Abdul Hamid di tempat kelima.

    Sementara itu, bagi Kategori B, tempat pertama disandang oleh Awang Murni bin Haji Mahali diikuti oleh Awang Abdul Latif bin Abdul Rahman di tempat kedua, Pengiran Haji Sulaiman bin Penguran Mohd Salleh di tempat ketiga, Awang Yusma Bahrin bin Dato Paduka Haji Mohd Yusof di tempat keempat dan Awang Dayang bin Awang Kahar di tempat kelima.

    Pada majlis berkenaan, 20 keping gambar daripada senarai 10 teratas bagi kedua-dua kategori turut dipamerkan.

    Peraduan yang dibukakan bagi penyertaan lebih dari dua bulan itu mendapat sambutan serta penyertaan yang menggalakkan di mana setelah dibuat penapisan awal, sebanyak 40 keping gambar bagi Kategori A dan 19 keping gambar bagi Kategori B telah dihakimkan.

    Peraduan dilaksanakan sejajar dengan matlamat pertubuhan berkenaan iaitu untuk menggalakkan orang awam meminati dan menghargai nilai seni fotografi di Negara Brunei Darussalam serta visi pertubuhan untuk membina serta mempertingkatkan daya kemahiran dan menghasilkan jurufoto yang profesional atau sebagai bidang kerjaya.

    Pengiran Mohammad Amirrizal ketika menyaksikan pameran fotografi.
    Pengiran Mohammad Amirrizal ketika menyampaikan hadiah kepada salah seorang pemenang.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda