Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 APRIL – Beberapa buah stesen minyak di keempat-empat
daerah dijadualkan untuk ditutup sementara bagi kerja-kerja pemeriksaan dan penelitian ke atas alat sukatan untuk pam minyak bagi Mei depan.
Unit Sukatan dan Timbangan (SDT), Bahagian Industri dan Ekosistem Perniagaan (IBE) di bawah Kementerian Kewangan dan Ekonomi akan melaksanakan kerja-kerja pemeriksaan dan penelitian bacaan ketepatan ke atas alat sukatan jenis pam minyak di stesen-stesen minyak berkenaan.
Menurut SDT, langkah berkenaan adalah selaras dengan Akta Sukatan dan Timbangan 1983 Penggal 15, di mana pemeriksaan bacaan ketepatan, sah dan berdaftar dengan Unit SDT adalah dikehendaki ke atas penggunaan alat sukat dan timbang bagi tujuan perdagangan.
Dengan mengambil kira keselamatan dan kesejahteraan orang ramai serta para tenaga kerja yang terlibat sepanjang kerja pemeriksaan dan penelitian berkenaan, stesen-stesen minyak akan ditutup bermula pukul 9 pagi hingga selesai, yang mana anggaran pelaksanaannya sekitar dua jam.
Pemeriksaan dan penelitian ke atas stesen-stesen minyak itu adalah pemeriksaan rutin yang dikendalikan tiga kali setahun.
Sehubungan itu, kerja-kerja pemeriksaan dan penelitian bacaan ketepatan akan dilaksanakan di Stesen Minyak Syarikat Kerjasama Kampung Tanjong Nangka (Satenaga) pada 1 Mei, Stesen Minyak TAIB Beribi pada 2 Mei, Stesen Minyak Badan Tanmiah pada 3 Mei, Stesen Minyak Pengalayan pada 4 Mei, Stesen Minyak Tumasek, pada 8 Mei, Stesen Minyak Berakas pada 9 Mei dan Stesen Minyak Mar’azmala pada 10 Mei bagi Daerah Brunei dan Muara.
Di Daerah Belait pula, Stesen Minyak Syarikat Perniagaan Melayu Sdn Bhd ditutup sementara pada 9 Mei, Stesen Minyak Batang Duri, Daerah Temburong pada 18 Mei dan Stesen Minyak Kampung Keriam (PAKATAN Tutong), Daerah Tutong pada 23 Mei.
Bagi sebarang pertanyaan lanjut, boleh menghubungi Unit SDT melalui e-mel sdt@mofe.gov.bn atau melalui talian 2334092.