Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    Pemeriksaan TAP: 14 pekerja tidak didaftar, carum SPK

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 31 JAN – Sebanyak 51 premis telah diperiksa dalam lawatan ke premis-premis perniagaan di sekitar Kampung Kiulap yang dilaksanakan oleh Tabung Amanah Pekerja (TAP) melalui Unit Penguatkuasaan, baru-baru ini.

    Pemeriksaan tersebut telah mendapati masih ada majikan yang gagal mendaftarkan dan mencarumkan pekerjanya yang memenuhi pensyaratan ke Skim Persaraan Kebangsaan (SPK), dan hasil pemeriksaan itu mendapat, 14 orang pekerja tempatan gagal didaftarkan dan mencarum dalam SPK.

     Antara objektif utama lawatan berkenaan adalah bagi memastikan setiap pekerja mempunyai simpanan persaraan untuk kesejahteraan hari persaraan mereka nanti.

    Sehubungan itu, setiap majikan perlu bertanggungjawab dalam mendaftarkan dan membayar caruman SPK pekerja-pekerja mereka.

    TAP menegaskan kepada majikan bahawa proses pendaftaran dan pembayaran caruman pekerja telah dipermudahkan dengan hanya menggunakan perkhidmatan online TAP, e-Amanah.

    Para majikan boleh log masuk ke akaun majikan masing-masing melalui laman sesawang TAP di www.tap.com.bn dan tidak perlu lagi berurusan melalui kaunter-kaunter perkhidmatan TAP seperti sebelumnya.

    Selain itu, majikan juga diingatkan untuk menjalankan tanggungjawab mereka untuk mendaftarkan dan membayar caruman pekerja-pekerja yang layak ke SPK iaitu pekerja yang terdiri daripada rakyat dan penduduk tetap Negara Brunei Darussalam yang mencukupi syarat.

     Ini juga termasuk pekerja sementara, pekerja berkontrak, pekerja bergaji hari, dan pekerja dalam tempoh percubaan. Di bawah Bab 35 (1), Perintah Skim Persaraan Kebangsaan, 2023, jika sabit kesalahan, majikan boleh didenda tidak kurang daripada $3,000 bagi kesalahan pertama dan tidak lebih daripada $10,000 bagi kesalahan kedua dan seterusnya.

    Manakala itu, bagi isu-isu yang berkaitan dengan hal ehwal penguatkuasaan seperti tidak didaftar dan tiada pembayaran caruman, pihak pengadu adalah dinasihatkan untuk membuat aduan dan mengongsikan maklumat menerusi hotline Unit Penguatkuasaan TAP di talian 7302929 ataupun melalui e-mel, enforcement@tap.com.bn.

    Pekerja juga boleh mengunjungi mana-mana cawangan TAP yang berdekatan, atau menghubungi Pusat Panggilan TAP di talian 272 2929 semasa waktu bekerja.

     Bagi ahli yang telah berdaftar ke perkhidmatan online TAP, e-Amanah, aduan juga boleh dibuat dengan log masuk ke akaun ahli melalui laman sesawang TAP.

    Pegawai penguat kuasa TAP semasa menjalankan pemeriksaan ke atas salah sebuah premis perniagaan di sekitar Kampung Kiulap.- GAMBAR SERAHAN TAP

     

     

     

     

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Agensi cuaca Jepun keluarkan amaran strok haba

    TOKYO, 26 JULAI – Pegawai cuaca Jepun hari ini menggesa orang ramai mengambil langkah-langkah bagi mencegah strok haba ketika cuaca panas melampau dijangka melanda...