BANDAR SERI BEGAWAN, 28 Julai – Dalam menghargai jasa sumbangan khidmat bakti yang cemerlang serta jalinan baik berterusan di antara Tentera Udara Diraja Brunei (TUDB) dan Angkatan Udara Republik Singapura (RSAF), Pemerintah TUDB, Brigedier Jeneral (U) Dato Seri Pahlawan Shahril Anwar bin Haji Ma’wiah telah dikurniakan Pingat Jasa Gemilang (Tentera) oleh Presiden Republik Singapura, Tony Tan Keng Yam.
Pengurniaan pingat itu telah disampaikan oleh Menteri Pertahanan Republik Singapura, Dr. Ng Eng Hen pada majlis yang diadakan di Kementerian Pertahanan Singapura, kelmarin.
Kementerian Pertahanan dalam satu kenyataan menjelaskan bahawa pingat tersebut dikurniakan atas sumbangan khidmat baik berterusan beliau bagi kedua-dua belah pihak dalam bentuk lawatan, latihan ketenteraan, pertukaran profesional dan kehadiran kursus.

Semasa di Republik Singapura, Brigedier Jeneral (U) Dato Seri Pahlawan Shahril Anwar juga telah mengadakan kunjungan hormat kepada Dr. Ng Eng Hen; Panglima Angkatan Bersenjata Republik Singapura, Leftenan Jeneral Dato Paduka Seri Perry Lim dan Panglima RSAF, Mejar Jeneral Mervyn Tan Wei Ming.
Beliau juga telah memeriksa barisan kehormatan dan mengadakan lawatan ke RSAF 120 Squadron.
Pemerintah TUDB dan rombongan berada di Republik Singapura bagi lawatan rasmi dari 26 hingga hari ini.