WASHINGTON, 10 SEPT – Pelakon James Earl Jones meninggal dunia kelmarin di rumahnya di Dutchess County, New York pada usia 93 tahun, lapor United Press International (UPI).
Jones dikenali melalui peranannya membawakan hampir 200 watak, termasuk dalam filem Coming to America dan Field of Dreams, namun dia lebih dikenali dengan suara bariton yang dimilikinya.
Dia menyumbangkan suaranya untuk watak Darth Vader dalam siri Star Wars dan Mufasa dalam kedua-dua versi The Lion King pada 1994 dan 2019.
Jones juga adalah suara yang mengumumkan “This is CNN” serta muncul dalam iklan Bell Atlantic, Verizon dan DirecTV.
Pada 2017, Tonys memberikan Jones Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat bagi sumbangannya dalam teater. Dia juga memenangi Anugerah Tony menerusi lakonannya dalam The Great White Hope dan Fences.
Watak popular lain yang dilakonkannya termasuk penjahat Thulsa Doom dalam Conan the Barbarian, mentor Jack Ryan, Greer dalam filem Tom Clancy, serta jiran Mr Mertle dalam The Sandlot.
Penampilan terakhir Jones di skrin ialah mengulangi peranannya sebagai King Joffer dalam sekuel Coming 2 America 2021, dan penampilan suara terakhirnya ialah sebagai Darth Vader dalam siri Disney+ Obi-Wan Kenobi pada 2022. – Bernama