Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 18 NOV – Kepimpinan contoh dan kebaikan yang diketengahkan oleh Timbalan Superintenden Perubatan dan Konsultan Oftalmologi, Kementerian Kesihatan, Pengiran Dr Noor Affizan binti Pengiran Haji Abdul Rahman, diiktiraf dan diberikan penghormatan apabila beliau disenaraikan dalam Asia Pacific Kindness & Leadership 50 Leading Lights yang diumumkan baru-baru ini.
Inisiatif itu mengiktiraf para pemimpin United Kingdom (UK) dan Asia Pasifik yang telah menerajui perubahan positif yang menunjukkan kepimpinan transformatif.
Para pemimpin yang disenaraikan telah menunjukkan nilai tinggi di mana kebaikan boleh dicampurkan dengan kepimpinan yang mampu menghasilkan sumbangan positif kepada peniagaan, ekonomi dan masyarakat.
Ia juga mengetengahkan pemimpin di serata dunia yang menggunakan kuasa kebaikan untuk membuat impak yang besar kepada perniagaan dan memperkasakan perubahan, kepimpinan baik hati dan perniagaan baik.
Pencalonan Pengiran Dr Noor Affizan telah menerima sokongan daripada Suruhanjaya Tinggi British di Negara Brunei Darussalam.

Memetik keterangan yang disenaraikan bagi Pengiran Dr Noor Affizan dalam Asia Pacific Kindness & Leadership 50 Leading Lights, menyatakan beliau merupakan seorang profesional dalam melaksanakan tugasannya dan mampu membantu memimpin organisasinya untuk bertahan dalam pandemik, membawa perpaduan sesama mereka sambil mempromosikan perasaan empati kepada rakan sejawat, pesakit dan ahli keluarga dalam persekitaran yang tegang.
Keterangan itu juga menyatakan Pengiran Dr Noor Affizan mempamerkan kepimpinan dengan belas kasihan dan baik hati terhadap kakitangan di bawahnya dengan mengutamakan kesejahteraan dan kesihatan mereka.
Beliau juga menyediakan persekitaran kerja yang inklusif di mana pekerja mempunyai rasa kekitaan dan menghormati satu sama lain serta pendapat mereka didengar.
Sementara itu, Pengasas Kindness & Leadership 50 Leading Lights, Pinky Lilani CBE DL berkata, beliau amat teruja untuk mengumumkan 50 Leading Lights di serata rantau UK dan Asia Pasifik di mana pemimpin-pemimpin yang luar biasa telah menggunakan kuasa kebaikan untuk memacu perubahan transformatif yang memberikan kesan signifikan kepada perniagaan dan komuniti.
Beliau turut menyatakan perasaan kagum dengan pencalonan-pencalonan yang telah diterima di mana jelas kelihatan walaupun dalam masa yang sukar, kebaikan mampu memperkasa dan membolehkan individu untuk mencapai potensi penuh mereka di mana ia akan dicerminkan dalam kejayaan perniagaan atau perusahaan.
Manakala itu, Pengarah Urusan Blackrock Real Assets, Hugh Andrew Fris menyatakan gaya kepimpinan yang mempunyai kebaikan sebagai asasnya merupakan kepimpinan yang menjana inovasi, membina daya tahan dan kunci untuk mendapatkan yang terbaik daripada individu dan pasukan mereka.