Tuesday, April 30, 2024
24.4 C
Brunei

    -

    Pemimpin China, Jerman bincang krisis Ukraine

    BEIJING, 17 APRIL – Presiden China, Xi Jinping bertemu dengan Canselor Jerman, Olaf Scholz di Wisma Tetamu Diaoyutai Beijing, kelmarin.

    Pemimpin kedua-dua negara bertukar-tukar pandangan mengenai hubungan dua hala, kerjasama kedua-dua negara dalam pelbagai bidang, situasi antarabangsa dan komited untuk menyumbang kepada keamanan dan pembangunan dunia.

    Dalam pada itu, krisis Ukraine turut menjadi topik perbincangan Xi dan Scholz.

    Mereka menzahirkan kesediaan untuk mengikuti Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan menentang penggunaan senjata nuklear atau serangan ke atas kemudahan nuklear kegunaan awam.

    Kedua-dua pemimpin juga menyatakan bahawa China dan Jerman komited untuk menyelesaikan isu keselamatan makanan antarabangsa dengan baik, selain mematuhi undang-undang kemanusiaan antarabangsa.

    Xi berkata pada masa ini, semua pihak patut berusaha untuk memulihkan keamanan secepat mungkin bagi mengelakkan konflik daripada berlarutan hingga tidak terkawal. 

    Presiden berkata pihak-pihak terlibat perlu mengutamakan keamanan dan kestabilan dan tidak hanya mementingkan kepentingan diri.

    “Usaha hendaklah dilakukan demi meredakan situasi, bukannya meruncingkan perselisihan hingga menyediakan syarat demi memulihkan rundingan damai, selain mengurangkan kesan negatif terhadap ekonomi dunia dan tidak menjejaskan kestabilan rantaian bekalan dan rantaian perindustrian global.

    “China bukanlah pihak terlibat dalam krisis Ukraine, namun negara ini sentiasa mendorong rundingan damai dengan kaedah sendiri,” katanya.

    Mengulas lanjut Xi berkata China menggalakkan dan menyokong semua usaha yang kondusif untuk penyelesaian krisis secara damai dan menyokong persidangan keamanan antarabangsa yang diiktiraf oleh Rusia dan Ukraine diadakan pada masa sesuai.

    Beliau berkata persidangan itu perlu melibatkan penyertaan yang sama rata oleh semua pihak dan semua cadangan keamanan dapat dibincangkan. 

    “China bersedia untuk mengekalkan kerjasama dengan semua pihak yang berkaitan, termasuk Jerman dalam hal ini,” kata Xi. – Bernama

    Xi Jinping (kedua dari kiri) dan Olaf Scholz (kedua dari kanan) berjalan bersama di Beijing, China, kelmarin. – AP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    PM Jepun nafi akan berundur atas kekalahan partinya dalam pilihan raya...

    TOKYO, 30 APRIL - Perdana Menteri Jepun, Fumio Kishida berkata pada hari ini kekalahan besar parti pemerintahnya dalam pilihan raya kecil hujung minggu lalu...