Oleh Ak Zaki Kasharan
Gambar oleh Muiz Matdani
BANDAR SERI BEGAWAN, 26 JAN – Untuk melahirkan pemimpin tentera yang mempunyai kredibiliti, Model Kepimpinan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) memainkan peranan utama sebagai pembentuk watak atau karakter yang dikehendaki.
Pemimpin-pemimpin yang dikehendaki haruslah berwatak atau berkarakter keBruneian semata-mata, dengan tambahan memiliki sifat-sifat jujur, amanah, takwa, berani, setia dan profesional.
Inilah model kepimpinan yang sangat diinginkan oleh negara.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, menekankan perkara tersebut semasa mengurniakan titah pada Upacara Sovereign’s Parade bagi Pegawai-pegawai Kadet Pengambilan ke-21, Sekolah Pegawai Kadet (OCS) yang berlangsung di Padang Kawad Akademi Pertahanan (AP), ABDB, Kampung Tanah Jambu pada hari ini.
“Berpandukan kepada model kepimpinan seperti inilah, Insya-Allah, tapisan pemilihan bagi bakal pegawai ABDB di OCS akan lebih terperinci dilaksanakan, dengan mengambil kira juga standard pembelajaran dan mutu latihan hendaklah sentiasa di tahap yang tinggi dan tidak berkompromi dengan apa-apa jua perkara yang boleh menjejaskan mutu latihan,” titah Baginda.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia turut menekankan bahawa dalam usaha untuk mengembangkan pembelajaran dan menghasilkan pegawai tentera yang berpengetahuan tinggi, AP perlu membuat kolaborasi dengan universiti dan institusi pendidikan tentera, sama ada dari luar negara mahupun tempatan sebagai pembekal akademik kepada AP.
Selain bagi tujuan melahirkan pemimpin tentera yang mempunyai kredibiliti, komitmen seumpama ini juga adalah mampu untuk menaikkan lagi taraf akreditasi pendidikan AP sehingga sebanding dengan institusi pendidikan tentera luar negara.
Baginda Sultan turut mengucapkan tahniah kepada para pegawai kadet yang diraikan atas pertunjukan perbarisan yang cukup bersemangat pada upacara tersebut.
“Beta turut berbangga atas pencapaian ini, sambil tidak lupa merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada para ibu bapa dan penjaga atas dorongan dan sokongan mereka untuk kejayaan latihan ini.
“Pada pengambilan kali ini, Beta gembira dengan langkah meningkatkan kredibiliti dan kapasiti pembelajaran OCS iaitu seperti yang dapat dilihat melalui penglibatan latihan luar negeri ke Republik Singapura seperti Joint Urban Operations bersama Singapore Armed Forces Training Institute-Military Institute (SAFTI-MI), yang buat pertama kalinya melibatkan semua perkhidmatan pegawai kadet tentera darat, tentera laut dan tentera udara.
“Skop OCS juga turut dikembangkan lagi penglibatannya dengan mengikuti International Army Cadet Week bersama Republik Rakyat China dan SAFTI-MI International Cadet Conference di Republik Singapura,” titah Baginda.
Dalam titahnya, Kebawah Duli Yang Maha Mulia turut menyentuh bahawa bermula pengambilan ke-22 pada tahun ini, OCS buat julung kalinya akan menerima kemasukan pegawai kadet dari luar negara.
Selain dapat meningkatkan hubungan diplomasi pertahanan, kehadiran pegawai kadet luar negara juga akan memberikan nilai tambah pengiktirafan terhadap OCS ABDB sebagai setanding dengan OCS luar negara.
Baginda turut bertitah mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada semua pegawai kadet yang telah berjaya menamatkan latihan mereka dan juga tidak lupa merakamkan ucapan penghargaan kepada komandan AP, pegawai pemerintah, pegawai-pegawai colour sergeant dan jurulatih OCS atas usaha mereka melatih dan mendidik pegawai-pegawai kadet.
Baginda mendoakan semoga OCS, AP ABDB terus berkembang maju dan sentiasa di dalam pemeliharaan Allah SWT.