Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    Pemimpin perniagaan Brunei diseru melabur di Filipina

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 29 MEI – Usaha terus ditingkatkan dalam mengukuhkan hubungan perniagaan antara Negara Brunei Darussalam dan Republik Filipina di mana kerjasama kedua-dua buah negara berkenaan merupakan simbol aspirasi yang dikongsi bersama bagi memupuk pertumbuhan ekonomi dan membentuk komuniti ASEAN yang lebih mantap.

    Ke arah itu, pemimpin-pemimpin perniagaan Brunei diseru untuk melabur di Filipina dan menjadikan ia sebagai destinasi pelaburan utama bagi mereka.

    Seruan itu dibuat oleh Presiden Republik Filipina, Tuan Yang Terutama Ferdinand R. Marcos Jr dalam ucaptama pada Forum Perniagaan Filipina yang berlangsung di Berkshire Hall, Royal Brunei Polo and Riding Club, Jerudong, hari ini.

    Beliau seterusnya menyatakan bahawa pihaknya melihat potensi yang hebat dalam sektor-sektor seperti agriperniagaan, tenaga boleh diperbaharui dan pembangunan industri halal.

    Tuan Yang Terutama seterusnya berkata bahawa rangka kerja dasar pelaburan dan perdagangan mereka yang ditubuhkan menerusi ASEAN dan RCEP merupakan asas kepada agenda integrasi ekonomi serantau.

    Antara menteri kabinet dan pemimpin perniagaan yang menghadiri Forum Perniagaan Filipina, kelmarin. – GAMBAR OLEH SIM Y. H.
    TYT Ferdinand R. Marcos Jr menyampaikan ucaptama pada Forum Perniagaan Filipina yang berlangsung di Berkshire Hall, Royal Brunei Polo and Riding Club, Jerudong, kelmarin. – GAMBAR OLEH SIM Y. H.
    TYT Ferdinand R. Marcos Jr bergambar ramai semasa pemeteraian MoU bagi Kerjasama dalam Pembangunan PMKS dan Pertanian antara ASEAN BAC Filipina dan Brunei. – GAMBAR OLEH SIM Y. H.

    Ke arah itu, beliau optimis bahawa usaha-usaha yang dilaksanakan akan disokong lagi dengan langkah-langkah dasar tambahan yang digubal untuk mengukuhkan integrasi rantaian bekalan serta meningkatkan pelaburan langsung asing.

    Beliau juga mengetengahkan potensi BIMP-EAGA dalam membina sebuah asas pengeluaran ASEAN bersepadu di mana ia berkedudukan strategik untuk menyediakan rantaian nilai dan bekalan mantap serta pada masa yang sama menyokong pembangunan perusahaan kecil dan sederhana dalam sektor-sektor produktif utama.

    Di samping itu, Tuan Yang Terutama mengulas bahawa Filipina boleh meraih manfaat yang besar daripada sistem pensijilan halal Brunei di mana kerjasama dalam bidang berkenaan dapat menjana sebuah industri halal mantap yang menawarkan manfaat bersama kepada kedua-dua buah negara.

    Terdahulu dalam forum yang dianjurkan oleh Jabatan Perdagangan dan Industri (DTI), Jabatan Pertanian (DA) dan Program Eko-nomi Brunei serta disokong oleh Kedutaan Filipina di Negara Brunei

    Darussalam, dua perjanjian telah dimeterai antara Filipina dan Brunei semasa lawatan negara selama dua hari Presiden Republik Filipina ke negara ini.

    Perjanjian yang dimeterai itu mengukuhkan lagi kerjasama ekonomi dan pertanian antara kedua-dua buah negara dengan perjanjian pertama yang dimeterai ialah Memorandum Persefahaman (MoU) bagi Kerjasama dalam Pembangunan PMKS dan Pertanian antara Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN (ASEAN BAC) Filipina dan Brunei.

    Sementara itu, MoU kedua yang dimeterai adalah antara Dewan Perniagaan Kebangsaan dan Industri Brunei Darussalam (NCCIBD) dan Dewan Perniagaan dan Industri Filipina (PCCI) yang bermatlamat untuk mengukuhkan kerjasama ekonomi antara Brunei dan Filipina.

    Forum Perniagaan Filipina mengetengahkan kekuatan ekonomi Filipina dan memudahkan kerjasama pelaburan dan perdagangan yang menumpukan kepada pertanian, tenaga boleh diperbaharui, pembangunan halal serta peluang-peluang lain dalam rantau Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA).

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...