Friday, October 18, 2024
25.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pempengaruh ‘buru’ keunikan juadah Sabah

    KOTA KINABALU – Pengembaraan makanan selama 40 hari di seluruh Sabah oleh pempengaruh media sosial tempatan, Leo Liew dijangka menyaksikan ‘makanan tersendiri dan tempat tarikan’ dipaparkan dalam siri 32 video.

    Leo, yang digelar Abang Leo atau Biao Ge Leo (Abang Leo dalam bahasa Cina), menjelajah daerah Sabah antara 12 Disember dan 19 Januari untuk menikmati juadah tempatan.

    Penggemar makanan popular, berusia 33 tahun itu mengembara sejauh 4,300km melalui jalan darat yang meliputi 22 daerah dan bandar untuk merasai hidangan popular sebagai sebahagian daripada Jelajah Penggemar Makanan Sabah 2023 anjuran sebuah syarikat acara dengan sokongan Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah.

    Kembara makanannya dilakukan dengan kerjasama program Discover Sabah (DEC-Cover Sabah 2023).

    Beliau mencuba lebih 260 hidangan lazat, makanan tempatan, pastri dan sajian lazat lain di 73 restoran, kedai kopi dan gerai penjaja.

    Hidangan makanan laut istimewa di Semporna. – ANN/The Star
    Tart UFO yang boleh diperoleh di Semporna. – ANN/The Star
    Leo bukan saja berkongsi tentang makanan namun berpeluang bermain permainan tradisional bersama dua pesawah padi di Kota Belud. – ANN/The Star
    Menikmati sajian makanan laut di Ladang Ikan James di Kudat. – ANN/The Star
    Leo bergambar bersama ikan masin di Sandakan. – ANN/The Star

    Antara bandar dan daerah utama dalam perjalanannya ialah Tuaran, Kota Belud, Kudat, Ranau, Sandakan, Lahad Datu, Semporna, Tawau, Kunak, Keningau, Tenom, Sipitang, Beaufort, Kuala Penyu, Papar dan Tambunan.

    Leo juga melawat bandar-bandar kecil seperti Tamparuli, Weston, Kundasang dan Sukau sambil melawat Lembah Danum dan Kawasan Pemuliharaan Lembangan Maliau di pantai timur.

    “Kunjungan saya telah memperkayakan pengetahuan saya tentang kepelbagaian budaya makanan Sabah.

    “Kami telah mencuba semua mi Sabah…sebut sahaja: Mi Tuaran, Mi Tamparuli, Mi Sup Kota Belud, Mi Tenom, Mi Beaufort, Mi Sang Nyuk dan sebagainya,” kata Leo yang diiringi empat orang anggota pasukan.

    Di Sandakan, dia berkata mereka mencuba makanan laut dan ikan masin.

    “Kami juga menikmati masakan etnik atau makanan tradisional masyarakat Kadazandusun di Tambunan seperti bambangan (mangga liar), tuhau (halia liar), butod (ulat sagu) dan tapai (arak beras),” katanya.

    “Apa yang paling penting, kami menikmati tarikan semula jadi Sabah seperti Gunung Kinabalu, Banjaran Crocker, hutan tropika, sungai, air terjun sambil memandu di seluruh rantau negeri ini,” katanya.

    Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Christina Liew mengiktiraf pencapaiannya dan menyampaikan sijil pengiktirafan kepada Leo pada acara Pasar Malam Tahun Baharu Cina Segama di sini baru-baru ini.

    “Leo sememangnya duta makanan yang berjaya atas usaha sendiri untuk negeri Sabah.

    “Kami mengucapkan tahniah kepada beliau atas usaha dan sumbangannya yang tidak pernah berlaku sebelum ini kepada industri pelancongan kami.

    “Kami mendoakan yang terbaik dalam usahanya untuk memasuki Malaysia Book of Records,” katanya.

    Liew berkata setiap satu daripada 32 video itu merangkumi makanan dan tarikan tersendiri daerah tertentu.

    “Video ini disasarkan kepada rakyat Malaysia dan pelancong asing,” katanya. – ANN/The Star

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda