Oleh Nurdiyanah R.
Gambar serahan Yippy Tune Music School
BANDAR SERI BEGAWAN, 9 MEI – Video muzik yang menampilkan 27 pelajar Yippy Tune Music School membuat persembahan di Taman Mahkota Jubli Emas di ibu negara telah disiarkan oleh rangkaian BBC di hadapan 20,000 hadirin dan berjuta-juta penonton di seluruh dunia semasa berlangsungnya Konsert Pertabalan Raja Charles III di London, baru-baru ini.
Menurut kenyataan yang dikongsikan oleh Yippy Tune Music School, pemuzik-pemuzik muda tempatan itu antara yang dipilih dari negara-negara Komanwel yang disenarai pendek untuk rakaman mereka disiarkan semasa acara persembahan langsung duet maya bersama Steve Winwood dalam lagu Higher Love pada Sambutan Majlis Pertabalan Raja Charles III.
Pada acara itu, bendera kebangsaan Negara Brunei Darussalam dengan bangganya dikibarkan pada skrin LED besar serta dipaparkan dengan jelas di Istana Windsor beberapa kali ketika lagu itu dimainkan.
Menurut Pengetua Yippy Tune Music School, Deon Ong, pihak BBC menghubungi pihak sekolah sekitar dua bulan lalu pada tugasan istimewa tersebut meskipun peluangnya amat tipis untuk terpilih.
“Tidak ada seorang pun antara kami tahu apa yang diharapkan selain mempersembahkan yang terbaik dari Brunei untuk dipersembahkan kepada seluruh dunia. Kami sangat terkejut apabila sehari selepas acara pertabalan yang rakan-rakan dari United Kingdom menyiarkan video kami di konsert mega!,” ujarnya.
Menyentuh mengenai sesi rakaman, beliau mengatakan kanak-kanak berlatih, bersedia dan terus berlatih tanpa jemu dengan memperagakan pakaian kebangsaan di bawah cuaca panas dengan berlatarbelakangkan keindahan mercu tanda Brunei di ibu negara.
Kenyataan turut menyatakan konsert tersebut telah dihadiri oleh 20,000 hadirin yang ditonton oleh 12 juta orang secara langsung di kaca televisyen sebagaimana yang dikongsikan oleh Daily News.




