Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Penampilan estetik, pecutan kuasa hebat

    Oleh Syahmi Hassan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 21 DIS – Porsche Panamera 2022 serba baharu menggabungkan prestasi kereta sport dengan keselesaan kereta salun yang mewah, menawarkan keseimbangan bagi keseronokan dan kefungsian.

    Baru-baru ini, wartawan Media Permata telah diberi peluang untuk menguji pandu barisan asas Porsche Panamera 2022, yang didatangkan dengan pengecas turbo V-6, mampu mencapai kelajuan tertinggi 268 kilometer sejam (kmsj) dan memecut daripada sifar hingga 100kmsj dalam masa 5.3 saat.

    Dalam erti kata lain, Panamera merupakan sebuah kenderaan yang lancar di atas jalan dengan pengendalian yang sangat menarik, sesuatu yang boleh dijangkakan daripada kenderaan berjenama Porsche.

    Dari segi estetik, sebagai kereta sedan sport, garis bumbung fastback Porsche Panamera memberikan penampilan yang lebih kepada perlumbaan. Siluet dan perkadarannya pula jelas Porsche.

    Sementara itu, dari segi dalaman, seperti model-model Porsche lain, Panamera menampilkan ergonomik kereta sport dengan konsol tengah menaik, papan pemuka yang rata dan kaunter putaran analog di tengah kluster instrumen.

    Model terbaharu Porsche Panamera yang diperkenalkan.
    Dalaman Porsche Panamera menampilkan ergonik kereta sport dengan konsol tengah menaik, papan pemuka yang rata dan kaunter putaran analog di tengah kluster instrumen.

    Ia menggunakan generasi stereng baharu, bersempena dengan konsep kawalan Porsche Advanced Cockpit, menawarkan akses pantas kepada fungsi yang paling penting.

    Apa yang menakjubkan, walaupun dengan kuasa yang ada pada Panamera ini begitu kuat, namun kelancaran semasa memandu dapat dirasakan.

    Dari segi keselamatan, Porsche mempunyai reputasi yang sangat baik untuk prestasi keselamatan dan kemalangan, dan Panamera tersedia dengan pelbagai ciri bantuan pemandu. Porsche kini menyediakan bantuan menjaga lorong sebagai peralatan yang standard.

    Ciri-ciri keselamatan utama termasuk amaran perlanggaran di hadapan dan brek kecemasan automatik, pemantauan titik buta (blindspot) dan amaran lintasan belakang, serta kawalan pelayaran adaptif.

    Porsche Brunei menyediakan pelbagai pilihan yang disertakan dengan Panamera. Pada masa ini bilik pameran mereka menawarkan Porsche Panamera Platinum Edition, Panamera 4 E Hybrid, Panamera GTS dan Panamera Turbo S, dan lain-lain.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda