Oleh Ak Zaki Kasharan –
BANDAR SERI BEGAWAN, 7 JULAI – Kementerian Kewangan dan Ekonomi telah mengumumkan penangguhan sementara kadar duti eksais sebanyak $5 sekilogram ke atas beberapa produk plastik sehingga ke satu tarikh yang akan dimaklumkan kemudian.
Sehubungan itu, kadar duti eksais 5 peratus daripada nilai perdagangan yang diisytiharkan akan dikenakan sementara kepada semua pengimport bagi 139 barang di bawah Kod Harmonised System (HS) iaitu di bawah heading 39.01 hingga 39.14 dan sebilangan produk plastik di bawah heading 39.23 dan akan berkuat kuasa mulai 17 Mei.
Langkah itu adalah bagi membantu para peniaga tempatan membuat persediaan membentuk strategi perniagaan baharu bagi mendukung inisiatif ke arah pengurangan penggunaan plastik di negara ini.
Kenyataan turut menyatakan bahawa Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED) akan menguruskan bayaran balik jumlah perbezaan bayaran duti eksais yang telah dibuat pada kadar $5/kg sejak tarikh berkenaan.
Terdahulu dalam kenyataannya, kementerian berkenaan mengambil maklum bahawa perubahan kadar-kadar duti import kastam dan eksais yang berkuat kuasa pada 17 Mei lalu, melibatkan peningkatan kadar duti eksais bagi antara lain bahan mentah plastik, beg plastik dan bekas makanan plastik pakai buang, telah memberikan impak kepada syarikat-syarikat pengilang pembuat barangan plastik, para peniaga dan juga sebilangan pengguna.
Kementerian Kewangan dan Ekonomi turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada orang ramai atas sokongan ke atas inisiatif pihak kerajaan ke arah mengurangkan penggunaan barangan plastik di Negara Brunei Darussalam yang menyumbang kepada pencemaran dan kerosakan alam sekitar.
Sokongan padu secara berterusan daripada orang ramai bagi sama-sama menjalankan tanggungjawab untuk menjaga kelestarian alam sekitar adalah sangat diharapkan.
Maklumat lanjut mengenai perubahan kadar-kadar duti berkenaan boleh diperolehi daripada laman sesawang www.bdnsw.mofe.gov.bn atau www.tradingacrossborders.mofe.gov.bn.
Bagi sebarang pertanyaan lanjut, orang ramai boleh menghubungi Kaunter Perkhidmatan Pelanggan di JKED di talian 2382361 (semasa waktu pejabat) atau e-mel kepada info@customs.gov.bn.
