Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    Pencemaran udara di COP28 Dubai

    DUBAI, 3 DIS – Pemandangan langit Dubai diselubungi oleh asap yang dianggap sebagai ‘tidak sihat’ hari ini ketika beribu-ribu perwakilan menghadiri persidangan COP28 yang dikhaskan untuk kesan berbahaya daripada pencemaran udara.

    Indeks kualiti udara mencapai 155 mikrogram setiap meter padu pencemaran PM2.5 bahan zarah halus yang paling berbahaya, kerana ia boleh memasuki aliran darah, menurut WAQI.info, penjejak pencemaran masa nyata.

    Dalam kualiti udara ‘tidak sihat’, semua orang mungkin mula mengalami kesan kesihatan. Ahli kumpulan sensitif mungkin mengalami kesan kesihatan yang lebih serius,” laman web itu memberi amaran.

    Keadaan berjerebu begitu ketara dalam beberapa hari pertama COP28 PBB, di mana perunding cuba untuk mencapai persetujuan global untuk mengurangkan pelepasan dan membendung perubahan iklim.

    Kira-kira 80,000 orang didaftarkan untuk mengambil bahagian dalam edisi terbesar rundingan iklim PBB di Emiriah Arab Bersatu, salah satu pengeluar minyak terbesar dunia.

    Hari ini ditetapkan sebagai hari ‘kesihatan’ di COP28, di mana topik yang dibincangkan termasuk kualiti udara dan kesan perubahan iklim yang tidak sihat.

    Pencemaran udara luar yang didorong oleh pelepasan bahan api fosil membunuh lebih daripada empat juta orang setahun, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia, kerana ia meningkatkan risiko penyakit pernafasan, strok, penyakit jantung, kanser paru-paru, diabetes dan masalah lain.

    Kerosakan itu sebahagiannya disebabkan oleh zarah mikro PM2.5, yang kebanyakannya berasal daripada bahan api fosil yang dibakar dalam pengangkutan dan industri.

    COP28 sedang berlangsung kira-kira 11 kilometer dari Kompleks Kuasa dan Penyahgaraman Jebel Ali, stesen jana kuasa bahan api gas terbesar di dunia. – AFP

    Presiden Emiriah Arab Bersatu Sheikh Mohamed bin Zayed Al Nahyan (kanan) bertemu dengan Presiden Nigeria Bola Ahmed Tinubu (tengah) semasa perbincangan iklim COP28 di Dubai kelmarin. – AFP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...