Saturday, February 8, 2025
26.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pendakwaan mohon tangguh bicara

    KUALA LUMPUR, 3 APRIL – Pihak pendakwaan dalam kes pecah amanah dihadapi Datuk Seri Najib Tun Razak dan bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah membabitkan International Petroleum Investment Company (IPIC), memohon perbicaraan kes hari ini ditangguhkan kerana terdapat perkembangan baharu.

    Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Saifuddin Hashim Musaimi memberitahu Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Muhammad Jamil Hussin bahawa pihaknya telah menerima surat representasi daripada peguam Datuk K. Kumaraendran yang mewakili Mohd Irwan bagi menggugurkan pertuduhan dihadapi anak guamnya, yang sedang diteliti oleh Jabatan Peguam Negara (AGC).

    “Representasi telah dirujuk kepada Peguam Negara (Tan Sri Idrus Harun) dan arahan beliau adalah untuk saya memohon penangguhan kes sementara ia diteliti dan mendapatkan keputusan.

    “Banyak perkara baharu dibangkitkan dalam representasi tersebut oleh pihak peguam Tan Sri Mohd Irwan dan kami memerlukan masa untuk mengesahkannya,” kata Muhammad Saifuddin.

    Beliau berkata pihaknya juga menerima sesalinan surat daripada peguam yang mewakili Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah untuk memohon penangguhan kes pada hari ini.

    Sementara itu, Muhammad Shafee memaklumkan pihaknya juga telah menghantar surat ke mahkamah untuk memohon penangguhan perbicaraan kes pada bulan ini dan sepanjang Mei depan selepas mengetahui terdapat perbincangan melibatkan penyelesaian yang sedang berlaku antara kerajaan Malaysia dan IPIC.

    Hari ini merupakan hari pertama perbicaraan kes melibatkan bekas perdana menteri dan bekas ketua setiausaha perbendaharaan itu yang turut dijadualkan berlangsung pada 4 April, 8 hingga 11 April dan sepanjang Mei tahun ini. – Bernama

    Peguam yang mewakili Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk memohon penangguhan kes. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda