Wednesday, January 8, 2025
30.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pendakwah harus kuasai pengetahuan ilmu Islam

    Oleh Yusrin Junaidi – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 16 OGOS – Pendakwah merupakan golongan yang berperanan penting dalam menyampaikan ajaran Islam kepada masyarakat, kerana mereka antara insan yang telah dipertanggungjawabkan oleh Allah SWT dalam memakmurkan agama di muka bumi ini.

    Cabaran seseorang yang ingin menjadi pendakwah ialah ilmu dan kemahiran, semangat tanpa ilmu serta kemahiran boleh membantutkan niat untuk menjadi pendakwah.

    Dari itu, setiap pendakwah hendaklah mempunyai ilmu dan kemahiran yang berkaitan dengan isu-isu yang realistik dan strategik demi memperkasa gerak kerja dakwah yang berkesan.

    Perkara ini antara yang ditekankan oleh Dekan Fakulti Usuluddin Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), Dr Norashibah binti Haji Besar dalam ucapannya pada Majlis Pelancaran Seminar Antarabangsa Pendidikan Usuluddin bersempena Sambutan Ilal Hijrah 1445 anjuran KUPU SB melalui Fakulti Usuluddin dengan kerjasama Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) dan Pusat Dakwah Islamiah, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) di Dewan Tarbiah, KUPU SB, hari ini.

    Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned yang seterusnya menyempurnakan perasmian seminar berkenaan.

    Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz semasa menghadiri majlis tersebut. – Gambar Yusrin Junaidi
    Dr Norashibah semasa menyampaikan ucapan ketika majlis tersebut. – Gambar Yusrin Junaidi
    Antara yang hadir semasa majlis pelancaran itu. – Gambar Yusrin Junaidi

    Dr Norashibah dalam ucapan alu-aluannya selaku pengerusi turut menegaskan bahawa adalah sangat penting bagi pendakwah menguasai aspek pengetahuan berkaitan ilmu Islam, sejarah dan kearifan tempatan, kepercayaan, adat dan budaya, pengetahuan semasa serta realiti masyarakat setempat.

    Oleh yang demikian, perlunya melahirkan para pendakwah yang mahir menguasai pelbagai pendekatan dakwah. Dari sudut organisasi, kemahiran mengurus, memimpin dan mengendali aktiviti juga termasuk kemahiran yang diperlukan.

    Sehubungan itu, dengan tema ‘Memperkasa Kualiti Daie’, seminar diharapkan dapat memperkasa para daie bertauliah yang berkaliber melalui integrasi ilmu teori dan praktik dalam memantapkan strategi dakwah yang berkualiti, relevan dengan situasi perubahan semasa dan cakna masyarakat, tambahnya.

    Majlis diteruskan ucapan perasmian Yang Berhormat Mufti Kerajaan yang antara lain menyatakan mengenai perlunya usaha berdakwah kerana keadaan dunia sekarang yang bergelora dengan isu-isu keagamaan seperti perjuangan kumpulan hak asasi manusia misalnya Muktazillah moden, LGBT, Islam liberal, hambatan menghina nabi dan hambatan pembakaran Al-Quran.

    Ini menunjukkan perlunya dakwah disertai dengan ilmu serta dukungan untuk menyampaikan apa yang betul, tambahnya.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda