Sunday, March 16, 2025
24.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pendapatan nelayan di Pulau Suri terjejas

    TUMPAT – Kira-kira 250 nelayan tradisional di sini resah apabila pendapatan mereka semakin terjejas berikutan muara sungai di Pantai Suri semakin cetek sejak beberapa tahun lepas.

    Penghulu Mukim Teluk Renjuna Hadi Hassan berkata situasi itu menyebabkan nelayan hanya boleh melalui muara ketika air pasang dan jika tidak, bot mereka tersadai hingga menghalang laluan keluar masuk ke laut.

    ”Kami pohon pihak tertentu membantu nelayan dengan mengorek pasir yang tertimbus akibat Monsun Timur Laut sejak lebih lima tahun lepas,” katanya kepada pemberita ketika melawat muara berkenaan di sini.

    Menurut Hadi, beting pasir berkenaan sudah menutup keseluruhan muara dianggarkan sepanjang 300 meter akibat dipukul omban, sekali gus menyebabkan pendapatan nelayan terjejas sejak enam bulan lepas.

    “Ini meresahkan golongan nelayan tradisional di sini kerana mereka bergantung hidup menyara keluarga dengan hasil tangkapan di laut.

    “Nelayan juga terpaksa mencari alternatif dengan mengambil upah melakukan kerja-kerja kampung lain untuk meraih pendapatan,” katanya.

    Sementara itu, seorang nelayan, Mat Amin Mamat, 47, berharap pihak berwajib dapat melakukan sesuatu bagi membuang beting pasir agar nelayan dapat kembali ke laut.

    “Bukan sahaja kami bimbang periuk nasi kami terjejas tetapi yang lebih besar adalah kampung kami terdedah kepada ancaman banjir kerana air sungai tidak dapat ke laut dengan sempurna,” katanya.

    Seorang lagi nelayan di Pulau Suri, Saifudin Ibrahim, 43, pula berkata penduduk yang tinggal di tebing Sungai Kelantan bimbang dengan ancaman banjir besar yang akan dihadapi jika beting pasir itu tidak dialihkan. – Bernama

    Nelayan hanya boleh melalui muara ketika air pasang dan jika tidak, bot mereka tersadai hingga menghalang laluan keluar masuk ke laut. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda