Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    Pendidikan asas, pembelajaran sepanjang hayat disentuh

    Oleh Ak Zaki Kasharan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 10 FEB – Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr Hajah Romaizah binti Haji Mohd Salleh, telah menghadiri Persidangan Majlis Menteri-menteri Pendidikan Asia Tenggara (SEAMEC) kali ke-52 dan Dialog Strategik Menteri-menteri Pendidikan (SDEM) kali ke-6 yang telah diadakan pada 8 dan 9 Februari 2023 bertempat di Manila, Republik Filipina yang dianjurkan oleh pihak Jabatan Pendidikan Filipina selaku pengerusi persidangan bersama pihak Urus Setia SEAMEO.

    Persidangan berkenaan dihadiri oleh menteri-menteri dari Republik Filipina, Malaysia dan Singapura, serta timbalan-timbalan menteri dan pegawai-pegawai kanan dari Indonesia, Kemboja, Republik Demokratik Rakyat Laos, Myanmar, Thailand, Timor Leste dan Vietnam.

    Sementara itu, persidangan berkenaan turut dihadiri oleh wakil daripada ahli Bersekutu SEAMEO iaitu dari Sepanyol, dan ahli Gabungan SEAMEO iaitu dari British Council dan University of Tsukuba, pengarah-pengarah Pusat Sarantau SEAMEO, dan pegawai lain dari 26 Pusat Serantau SEAMEO.

    Turut hadir ialah Setiausaha Tetap (Pendidikan Teras), Dr Shamsiah Zuraini Kanchanawati binti Haji Tajuddin dan pegawai-pegawai dari Kementerian Pendidikan Negara Brunei Darussalam.

    Persidangan tersebut telah dirasmikan oleh Naib Presiden Republik Filipina dan Setiausaha Jabatan Pendidikan Filipina, Puan Yang Terutama Sara Zimmerman Duterte. Ucapan alu-aluan persidangan telah disampaikan oleh Menteri Pendidikan Singapura, Tuan Yang Terutama Chan Chun Sing selaku Presiden Majlis SEAMEO.

    Yang Berhormat Menteri Pendidikan bergambar ramai semasa persidangan tersebut. – Gambar serahan Kementerian Pendidikan

    Perasmian tersebut turut menyaksikan ucaptama daripada Presiden Republik Filipina, Tuan Yang Terutama Ferdinand R Marcos Jr, melalui rakaman video.

    Dengan tema SDEM ke-6 tahun ini Mengutamakan Pendidikan Asas dan Pembelajaran Sepanjang Hayat: Pelaburan dalam Literasi, Numerasi, dan Pendidikan STEM di Era Digital, Yang Berhormat Menteri Pendidikan, selaku moderator meja bulat pertama, berpeluang untuk mengongsikan usaha yang telah dilaksanakan oleh Negara Brunei Darussalam ke arah mengutamakan pendidikan asas dan pembelajaran sepanjang hayat.

    Yang Berhormat Menteri Pendidikan menekankan bahawa Kementerian Pendidikan amat menitikberatkan pembelajaran asas dengan memberi keutamaan kepada pendidikan awal kanak-kanak melalui usaha-usaha penyediaan Rangka Kerja Kualiti Kebangsaan, Dasar Kualiti Kebangsaan serta Rangka Kerja Kualiti Kurikulum Kebangsaan khususnya dalam pembinaan kapasiti guru dan bengkel pembangunan profesional pada peringkat awal kanak-kanak.

    Kementerian Pendidikan juga mengambil kira hal ehwal kehilangan pembelajaran dan jurang pembelajaran. Seterusnya Yang Berhormat Menteri Pendidikan juga mengongsikan mengenai perangkaan Pelan Transformasi Digital yang bertujuan untuk mengubah sektor pendidikan melalui pengemaskinian proses, dan penggunaan teknologi untuk meningkatkan pendidikan.

    Selain itu, penubuhan Pusat Pembelajaran Sepanjang Hayat juga dikongsikan, di mana pusat tersebut menawarkan lebih daripada 140 kursus dalam usaha untuk meningkatkan akademik dan pembangunan kualiti.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Agensi cuaca Jepun keluarkan amaran strok haba

    TOKYO, 26 JULAI – Pegawai cuaca Jepun hari ini menggesa orang ramai mengambil langkah-langkah bagi mencegah strok haba ketika cuaca panas melampau dijangka melanda...