Wednesday, December 25, 2024
28.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Penduduk gotong-royong siapkan replika Jalur Gemilang buluh

    KELANTAN – Penat lelah penduduk Kampung Bukit Kechik, Tanah Merah bergotong-royong sejak sebulan lalu terbalas apabila mereka berjaya menyiapkan replika Jalur Gemilang dan logo Malaysia MADANI daripada buluh bagi menyemarakkan sambutan Bulan Kebangsaan.

    Replika Jalur Gemilang setinggi 3.6 meter (m) dan lebar 12m serta logo Malaysia MADANI setinggi 4.8m dan lebar 3.6m kini megah di pekarangan Dataran Tabika Nur Iman Kampung Bukit Kechik.

    Pengerusi Persatuan Penduduk Kampung Bukit Kechik, Mohd Noor Hassan berkata sebanyak 200 buluh digunakan untuk menghasilkan replika tersebut.

    “Buluh ini diambil dari sekitar hutan di kampung ini. Kerja-kerja menyiapkan Jalur Gemilang dan logo ini dilakukan secara bergotong-royong, jika ada waktu lapang penduduk akan datang untuk menyiapkannya,” katanya kepada Bernama, baru-baru ini.

    Mohd Noor berkata kos untuk menyiapkan Jalur Gemilang dan logo itu hasil sumbangan penduduk dan agensi kerajaan termasuk Jabatan Penerangan, Jabatan Perpaduan Negara & Integrasi Nasional serta Jabatan Kemajuan Masyarakat.

    Beliau berkata selain Jalur Gemilang dan logo Malaysia MADANI daripada buluh, penduduk turut menyiapkan Jalur Gemilang menggunakan jaring hitam tanaman sepanjang 60m.

    “Kita juga menghias Dataran Tabika Nur Iman dengan ratusan bendera kecil. Sejak 2016, penduduk Kampung sentiasa melakukan aktiviti untuk memeriahkan sambutan sebagai contoh tahun lepas, kita bina Jalur Gemilang 30m menggunakan daun mengkuang,” katanya. – Bernama

    Penduduk kampung bergotong-royong menyiapkan replika logo Malaysia MADANI yang diperbuat daripada buluh bagi menyemarakkan sambutan Bulan Kebangsaan ketika ditemui Bernama di Kampung Bukit Kechik. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda