Monday, December 2, 2024
22.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Penduduk Lahore dilarang kunjungi tempat awam

    LAHORE, 8 NOV – Pihak berkuasa di kawasan timur Pakistan telah menutup semua taman awam, zoo, muzium, tempat bersejarah dan taman permainan selama 10 hari berikutan gelombang asbut tebal yang mencatatkan rekod dan menjejaskan 18 daerah di wilayah Punjab, menyebabkan puluhan ribu orang jatuh sakit.

    Penduduk Lahore menjalani kehidupan dalam suasana suram yang berlarutan di bandar selama berjam-jam, dengan jarak penglihatan berkurangan kepada kira-kira 100 meter.

    Asbut toksik menyelubungi bandar dengan populasi 14 juta itu dan kawasan lain di Punjab sejak bulan lalu, memaksa kerajaan menutup sekolah dan tempat awam lain sehingga 17 November serta mengarahkan kakitangan kerajaan bekerja dari rumah di 18 daerah Punjab, termasuk ibu kotanya, Lahore.

    “Tindakan melarang kemasukan orang ramai ke tempat-tempat tersebut adalah sebahagian daripada usaha kerajaan Punjab untuk melindungi kesihatan rakyat,” kata Sajid Bashir, jurucakap Jabatan Perlindungan Alam Sekitar di Punjab.

    “Kami mahu orang ramai tinggal di rumah dan mengelakkan perjalanan yang tidak perlu,” katanya.

    Mahkamah di Lahore hari ini juga mengarahkan kerajaan menutup semua pasar selepas jam 8 malam.

    Pihak berkuasa telah pun melarang aktiviti memanggang makanan tanpa penapis dan mengarahkan dewan perkahwinan ditutup pada jam 10 malam.

    Bashir berkata bahawa Lahore adalah bandar paling tercemar di dunia hari ini, dengan bacaan Indeks Kualiti Udara melebihi 600. Bacaan yang melebihi 300 dianggap berbahaya untuk kesihatan.

    Sekolah-sekolah juga telah ditutup lebih awal di daerah yang terjejas oleh jerebu bagi melindungi kesihatan kanak-kanak, yang akan menjejaskan pendidikan lebih 20 juta pelajar, menurut persatuan yang mewakili sekolah swasta dan kerajaan. – AP

    Para pelajar menunggu pengangkutan di tepi jalan pada waktu pagi ketika asap tebal menyelubungi kawasan Lahore, Pakistan, kelmarin. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda