Penerbit filem, Syaitan Munafik, Datuk Mohd Rosdi Shair lega apabila para artis, penaja dan media di Indonesia menyokong filem terbitan syarikatnya, United Nine Creative Sdn Bhd, yang turut menampilkan pelakon Malaysia Allahyarham Ashraf Sinclair.
Beliau berkata 10 pelakon filem dan sinetron, antaranya Dafina Jamasir, Loli Ismaya, Mayang Lucyana Fitri, Doddy Sudrajat, Vidya Ully, Derick Jordan dan Nadelyn setuju datang memeriahkan tayangan perdana filem itu di Kuala Lumpur pada 18 Disember.
Pihaknya akan melaksanakan program promosi besar-besaran di Malaysia dan Indonesia agar filem terakhir lakonan Ashraf Sinclair, artis yang juga popular di Indonesia, mendapat liputan yang meluas bagi menarik seluruh penonton terutamanya peminat filem seram.
“Saya berterima kasih atas sokongan rakan-rakan seperjuangan Allahyarham Ashraf. Ia juga bagi memperingati pemergiannya di Jakarta tiga tahun lalu,” kata Rosdi di majlis menandatangani perjanjian penajaan dengan PT TransNusa Aviation Mandiri, pada Rabu lalu.
Rosdi, yang juga pengarah urusan United Nine Creative, mewakili syarikatnya, manakala TransNusa Air diwakili pengerusi eksekutifnya Bayu Sutanto. Hadir sama ketua pegawai eksekutif TransNusa, Datuk Bernard Francis dan penerbit penyelaras United Nine Creative, Ahmad Latifi.
Rosdi menghargai kesudian syarikat penerbangan itu menjadi penaja rasmi penerbangan untuk artis, media dan seluruh anggota penerbitan Malaysia dan Indonesia.
TransNusa juga akan memberi sokongan penuh terhadap acara pelancaran filem itu di Kuala Lumpur, dan di Jakarta pada 14 Januari 2024. – Bernama