Friday, May 9, 2025
30.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pengagihan bendera empat daerah

    Oleh Salawati Haji Yahya, Nurdiyanah R. & Daniel Lim, Jabatan Daerah Temburong

    BANDAR SERI BEGAWAN, 1 JULAI – Dalam masa dua minggu lagi, Negara Brunei Darussalam akan meraikan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-76 tahun.

    Sehubungan itu, Jabatan Daerah Brunei dan Muara hari ini mengadakan Majlis Menaikkan dan Pengagihan Bendera Negara Brunei Darussalam sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda Sultan ke-76 yang berlangsung di kawasan letak kereta jabatan berkenaan.

    Setiausaha Tetap di Kementerian Pendidikan, Dr Shamsiah Zuraini Kanchanawati binti Haji Tajuddin, yang hadir selaku tetamu kehormat majlis seterusnya menyerahkan bendera negara kepada anggota Pasukan Polis Diraja Brunei bagi upacara menaikkan bendera untuk dikibarkan di kawasan letak kereta jabatan berkenaan.

    Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah oleh Imam Tingkat III, Masjid Suri Seri Begawan Raja Pengiran Anak Damit, Kampung Manggis, Madang, Awang Muhd Khaizuran Amali bin Haji Kamsani. Upacara menaikkan bendera negara itu diiringi dengan lagu kebangsaan dan lagu-lagu patriotik, diikuti pengagihan bendera dan penyampaian sijil penghargaan kepada penghulu-penghulu, persatuan-persatuan serta pihak swasta dan NGO yang diadakan di Dewan Teater jabatan.

    Turut hadir ialah pegawai Daerah Brunei dan Muara, penghulu-penghulu mukim, wakil pegawai pemerintah polis Daerah Brunei dan Muara, wakil dari universiti-universiti, ketua pegawai operasi DST, pegawai eksekutif Progresif Sdn Bhd, Penerbangan Diraja Brunei, wakil dari persatuan dan pertubuhan bukan kerajaan serta pegawai dan kakitangan jabatan.

    Hajah Tutiaty semasa menghadiri majlis pengibaran bendera yang diadakan di Taman Persiaran Menara Cendera Kenangan, Jalan Sungai, Kuala Belait.
    Hajah Norliah menyerahkan bendera besar kepada anggota Pasukan Polis Diraja Brunei pada majlis yang berlangsung di kawasan Dermaga Pekan Bangar. – Gambar serahan Jabatan Daerah Temburong
    Dr Nor Imtihan menyerah bendera negara kepada salah seorang wakil pada majlis yang diadakan di kawasan Kompleks Dewan Kemasyarakatan Daerah Tutong.
    Dr Shamsiah Zuraini Kanchanawati menyerahkan bendera negara kepada salah seorang penghulu pada majlis yang berlangsung di kawasan letak kereta Jabatan Daerah Brunei dan Muara.

    Sementara di Daerah Belait, upacara menaikkan bendera telah diadakan di Taman Persiaran Menara Cendera Kenangan, Jalan Sungai, Kuala Belait. Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis ialah Setiausaha Tetap, Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Hajah Tutiaty binti Haji Abdul Wahab.

    Majlis dimulakan dengan ketibaan pembawa bendera Negara Brunei Darussalam oleh Pemangku Penolong Pegawai Daerah Belait, Awang Mohamad Abdul Hadi bin Haji Mohd Syarifuddin. Majlis diteruskan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat oleh Ketua Imam, Masjid Kampung Sungai Teraban, Kuala Belait, Awang Muhammad Nor Islam bin Mohd Suria.

    Selepas doa, bendera diserahkan oleh Pemangku Pegawai Daerah Belait, Awang Mohamad Yassin bin Haji Ahmed kepada tetamu kehormat yang seterusnya menyerahkan bendera tersebut kepada Pasukan Polis Diraja Brunei, Kuala Belait untuk dikibarkan.

    Upacara mengibarkan bendera diiringi dengan lagu ‘Allah Peliharakan Sultan’ oleh Pasukan Koir Sekolah Menengah Perdana Wazir dan Sekolah Menengah Sayyidina Ali. Pasukan koir juga mengadakan persembahan dengan nyanyian lagu ‘Bendera Negara’ dan ‘Rahmat.’

    Seterusnya, bendera-bendera Negara Brunei Darussalam diserahkan kepada penghulu, pemangku-pemangku penghulu mukim serta wakil dari persatuan-persatuan di Daerah Belait untuk dikibarkan selepas acara.

    Di Daerah Tutong, majlis pengibaran bendera besar telah diadakan di kawasan Kompleks Dewan Kemasyarakatan Daerah Tutong. Hadir selaku tetamu kehormat ialah Setiausaha Tetap (Perancangan, Guna Tanah dan Alam Sekitar) Kementerian Pembangunan, Dr Nor Imtihan binti Haji Abdul Razak.

    Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat dipimpin Imam Masjid Kampung Danau, Daerah Tutong, Awang Abdul Hadi bin Abdul Rahman.

    Majlis seterusnya menyaksikan penyerahan bendera kebangsaan oleh Pemangku Pegawai Daerah Tutong, Awang Ajmin bin Haji Meludin kepada anggota Pasukan Polis Diraja Brunei untuk dinaikkan dengan iringan lagu kebangsaan.

    Manakala upacara pengibaran bendera negara di Daerah Temburong telah diadakan di kawasan Dermaga Pekan Bangar.

    Hadir selaku tetamu kehormat ialah Setiausaha Tetap (Dasar dan Fiskal), Kementerian Kewangan dan Ekonomi, Hajah Norliah binti Haji Kula. Turut hadir ialah Pemangku Pegawai Daerah Temburong, Awangku Abdul Rashid bin Pengiran Haji Aliudin, pemangku penghulu-penghulu mukim, ketua-ketua kampung, pemangku ketua-ketua kampung, ketua-ketua cawangan, syarikat-syarikat swasta dan persatuan-persatuan bukan kerajaan.

    Majlis bermula dengan bacaan Al-Fatihah oleh Imam Masjid Kampung Labu Estate, Mukim Labu, Awang Khairulamirin Fitri bin Haji Samsuddin, diikuti penyerahan bendera besar oleh Pemangku Pegawai Daerah Temburong kepada tetamu kehormat majlis.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda