Wednesday, April 23, 2025
23.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pengalaman memancing udang galah

    Oleh Raz AS

    Jam menunjukkan pukul 9 malam. Di dalam pejabat penulis tekun duduk melihat gambar-gambar memancing yang dikirimkan pembaca untuk disiarkan, tiba-tiba timbul rasa ‘gatal’ pada hati penulis atau kata orang kitani ‘teracun’ melihat gambar Awang Zul bersama udang galahnya yang telah dikirimkan kepada penulis baru-baru ini.

    Dek kesibukan hidup dan pekerjaan, penulis sudah lama tidak bertandang ke kampung halaman di Temburong untuk memancing udang galah. Jika sebelum ini, terutamanya semasa zaman menganggur selepas menamatkan pengajian di universiti enam tahun yang lalu, saban minggu penulis pergi ke sana untuk memancing udang galah dan hasilnya dibawa pulang ke bandar dan dijual untuk wang perbelanjaan seharian.

    Kini untuk melepas nafsu memancing udang galah penulis selalunya akan pergi ke Tutong selepas waktu bekerja lewat malam, curi-curi masa untuk memancing udang bersama rakan sekerja yang berasal dari sana, Amri. Meskipun udang galahnya tidak ‘semeriah’ seperti di kampung halaman tetapi sudah cukup untuk melepas kerinduan melihat janggut udang.

    Penulis mendongak melihat kalendar yang diletakkan di atas CPU yang menunjukkan hari Rabu tanggal 7 Ogos 2019, kalau diikut pertukaran haribulan Hijrah pada waktu Maghrib pasti sudah memasuki tanggal 7 Zulhijjah 1440H.

    Penulis menoleh dan menyapa Amri yang duduk tidak jauh dengan meja penulis. “Aing pelahan ni karang..” kata penulis pendek merujuk kepada arus pasang surut yang sudah mula bergerak perlahan sehari menjelang air mati atau ‘aing alan’ dan ‘pebani mati’.

    Penulis bergambar bersama sebahagian daripada hasil udang galah yang diperoleh.
    Gambar buaya besar berjemur di tempat memancing di kawasan Layong yang sempat dirakamkan oleh penulis.

    Meski udang galah tidak bermusim namun keadaan arus perlahan memang sesuai untuk memancingnya kerana umpan dapat dilontar jauh ke tengah jika memancing dari tebing dan udang juga lebih suka merayap keluar dari tempat persembunyiannya untuk mencari makan.

    “Kan turun kau? Ada umpan?” balas Amri yang sudah faham maksud percakapan penulis itu. “Kalau bedangan…ada sedikit labih udang pakai ku membagi makan dalak” balas penulis.

    Selesai menyiapkan tugas kira-kira jam 11 malam kami sekali lagi membuat pengesahan. Kami membuat perjanjian untuk berjumpa dan memancing di Layong sebelum bergegas pulang ke rumah masing-masing terlebih dahulu untuk membuat persediaan.

    Di rumah, penulis tidak membuang masa untuk membuat persediaan. Perut diisi ala kadar asal tidak naik dugal, manakala mata kail pancing yang lama diputus dan diikatkan dengan mata kail baharu agar tidak berputih mata.

    Tepat jam 1 pagi, Amri menghantar pesanan ringkas melalui WhatsApp mengatakan bahawa dia baru sahaja sampai ke rumahnya, ini juga menandakan bahawa sudah waktunya untuk penulis bertolak dari rumah. Maklumlah jarak dari Kampung Masin ke Layong bukannya dekat.

    Sebelum bertolak sempat juga penulis mendengarkan ceramah khas daripada ayahanda tercinta kerana keluar memancing tengah-tengah malam buta meski baru sahaja pulih daripada demam, penulis hanya mampu senyum tersengih-sengih.

    Untuk sampai ke Layong, penulis melalui Jalan Tutong menuju ke Lamunin. Di pertengahan perjalanan, tiba-tiba hujan turun dengan lebat di kawasan Kiudang hinggalah ke Lamunin sehingga mengganggu penglihatan jalan. Semangat yang awalnya membara sedikit demi sedikit terpadam menjadi abu.

    Namun mujurlah sesudah sampai ke kawasan Layong sepertinya hujan baru sahaja teduh di sana. Hanya angin yang bertiup kencang sehingga membuatkan pepohon bergoyang. Baru kira-kira seminit penulis sampai ke lokasi memancing, Amri pun turut datang mengekori.

    Perasaan sedikit kecewa melihat kawasan yang dahulunya lapang kini dipenuhi dengan samak samun namun tetap kami gagahi untuk menduga lubuk tersebut kerana sudah lama tidak ke sana. Memang diakui terasa sedikit seram sejuk memancing di sana, bukan apa sebelum ini penulis sendiri pernah mempunyai beberapa pengalaman bertembung dengan sang bedal atau buaya di tempat tersebut seperti melihat buaya besar berjemur di tempat memancing, dihendap buaya ketika sibuk melihat telefon bimbit semasa memancing dan juga melihat buaya berkelahi di tebing seberang.

    Oleh yang demikian, di sini penulis ingin mengambil kesempatan untuk mengingatkan pemancing-pemancing lain agar sama-sama meningkatkan kewaspadaan ketika meman-cing terutama di kawasan-kawasan yang berisiko demi keselamatan masing-masing.

    Selang 40 minit kemudian, umpan yang kami hulur langsung tidak mendapat sambutan, meski cuaca sudah beransur baik namun kehadiran penyangat kerawai yang tertarik dengan lampu kepala sedikit sebanyak menggugat keselesaan memancing. Kami membuat keputusan untuk berpindah sahaja ke lokasi seterusnya yang berdekatan iaitu di Penapar.

    Di Penapar ternyata nasib kami sama sekali berubah. Pancing yang dilontarkan tidak perlu menunggu lama untuk direnjat ganas oleh sang udang yang tidak banyak kerenah memakan umpan. Saiz-saiznya pula boleh tahan bersaiz ‘bujang’ dan ‘mendara’.

    Setelah berjaya menaikkan beberapa ekor udang galah, aksi berubah menjadi senyap terutama ketika air ‘mengalan’ untuk berbalas pasang. Selalunya jika memancing ketika tiada arus memang ikan atau udang lambat sedikit memakan umpan tidak kiralah memancing di laut mahupun di sungai.

    Selepas air mula bergerak pasang barulah pancing kami mula menerima sambutan kembali. Namun kali ini cara udang memakan umpan sudah berubah, pancing kami hanya digetu perlahan, beberapa ekor udang yang memakan umpan gagal kami naikkan kerana udang bijak melepaskan diri ketika pancing diangkat.

    Tidak semana-mana pancing Amri disambar kasar. Renangannya yang menghala ke kiri memang kami ketahui bukan udang yang menyambar umpan kerana udang selalunya akan berpusing-pusing atau berundur beberapa kali ketika cuba dinaikkan. Tekaan kami tepat, baung sebesar lengan kanak-kanak berjaya ditumpaskan.

    Tidak lama selepas itu pancing Amri sekali lagi menerima getuan namun kali ini sangat halus. Amri perlahan-lahan mengangkat pancingnya dan dibalas dengan unduran kencang beberapa kali. Seekor udang galah bersaiz ‘piyai’ berjaya dinaikkan. “Inda ada ‘sauh’ di Tutong ani boring” gurau Amri, meski minggu sebelumnya dia sudah berjaya menaikkan ‘sauh’ atau sepit biru semasa memancing seorangan.

    Selang beberapa minit kemudian, ternyata mulutnya masin, Amri berjaya menaikkan udang ‘sauh’ setelah pancingnya sekali lagi digetu halus oleh sang udang. Penulis hanya mampu jadi penonton kerana pancing penulis kurang mendapat sambutan, hanya seekor udang bersaiz ibu jari yang berjaya dinaikkan penulis semenjak arus kembali bergerak.

    Menjelang pagi nasib kami berganti, tiba giliran Amri pula yang menjadi penonton sambil mengantuk dan menguap-nguap sedang penulis tersenyum lebar kerana berjaya menaikkan udang galah bersaiz ‘piyai’ dan ‘sauh’.

    Ternyata udang ‘sauh’ yang diperoleh penulis adalah sebagai penutup, meskipun ada beberapa kali pancing kami digetu udang namun kami gagal menaikkannya. Sebelum berkemas pulang kami terlihat ikan toman berenang berdekatan dengan kami.

    Ikan toman jenis giant snakehead merupakan spesies invasif di negara ini, kehadirannya di kebanyakan perairan di negara ini disebabkan perbuatan kurang bertanggungjawab sesetengah individu yang melepaskannya ke sungai dan tasik kerana tidak mahu lagi memeliharanya setelah membelinya di kedai akuarium.

    Pernah juga ditemui pemancing yang senghaja melepaskannya di tempat lain dengan alasan agar lebih banyak tempat untuknya memancing gamefish tanpa menyedari akibat daripada perbuatan tersebut.

    Sifat toman yang sangat agresif dapat mengganggu ekosistem dan menyebabkan kepupusan spesies ikan dan udang tempatan yang menghuni sungai atau tasik tersebut. Dan hal-hal seperti ini memang sangat kami kesali.

    Dengan menggunakan umpan udang galah bersaiz ‘bujang’ yang kami peroleh, kami cuba memancing ikan tersebut untuk dibunuh, malangnya kerana tidak mempunyai perambut dawai, tali braided Powerpro 15lb senang terputus umpama benang yang digunting, toman pun masih bebas di sana.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda