Monday, February 10, 2025
23.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pengantarabangsaan UNISSA terus cemerlang

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 27 MAC – Sebagai sebuah ins-titusi pengajian tinggi Islam, Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) mampu mempamerkan kecemerlangannya dalam aspek pengantarabangsaan menerusi pelbagai aktiviti dan program seperti Program Pelajar Luar Negara (SAP), Program Pertukaran Pelajar (SEP), program mobiliti akademik, persidangan dan sebagainya.

    Atas kecemerlangannya itu, UNISSA tersenarai tiga teratas dalam kategori pengantarabangsaan pada Majlis Penyampaian Zairi International Awards yang telah dianjurkan oleh Center for Learning Innovations & Customized Knowledge Solutions (CLICKS) di Dubai, Emiriah Arab Bersatu pada 9 Mac lalu.

    Hadir bagi mewakili UNISSA pada majlis tersebut ialah Pengarah Pejabat Perancangan dan Pembangunan Strategik, Dr Muhamad Alif bin Haji Sismat dan Ketua Unit Jaminan Kualiti, Dr Zulamali bin Begawan Pehin Khatib Haji Matassan.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan UNISSA, sebelum majlis penyampaian berlangsung, rombongan juga telah menghadiri bengkel dan simposium yang telah membincangkan tentang pengalaman serta cadangan untuk pembaikan dan kemajuan pengajian tinggi global, khususnya dalam penerapan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) dalam kurikulum program bagi mempertingkatkan hasil pembelajaran yang berkualiti dan mampan.

    Zairi International Awards merupakan pengiktirafan kepada institusi pengajian tinggi yang menangani cabaran pendidikan global dan mewujudkan impak melalui kecemerlangan dan inovasi dalam pelbagai kategori iaitu impak penyelidikan, transformasi digital, khidmat masyarakat, pengantarabangsaan, dan ekuiti.

    Antara yang hadir pada majlis tersebut.- Gambar serahan UNISSA

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda