Pengarah filem Walid iaitu Areel Abu Bakar sanggup berbelanja besar dan mengeluarkan wang sendiri kira-kira RM300,000 untuk mendapatkan tayangan di Los Angeles dan New York, Amerika Syarikat (AS) pada Julai lalu.
Melihat ia sebagai satu peluang terbaik, Areel, 37, juga terpaksa menangguhkan penggambaran filem ketiga arahannya kerana kos tersebut digunakan buat perbelanjaan di AS.
“Tuhan sudah susun segalanya dengan baik. Saya tangguh dahulu penggambaran filem lain sebab rugi jika saya tidak ambil peluang ini. Pihak di sana (AS) juga memberi notis anggak singkat iaitu dua bulan sebelum ditayangkan.
“Bagi saya duit bukan ukuran, malah kos tersebut juga bukanlah mahal cuma nilai mata wang sana agak tinggi. Peluang tidak akan datang kali kedua.
“Sukar nak gambarkan kepuasan saya apabila filem kita ditonton oleh ‘orang putih’.
“Dalam babak filem tersebut juga saya letakkan ‘Jalur Gemilang’ yang cukup menggambarkan ia filem Malaysia,” katanya kepada mStar.
Dalam filem kali itu, Areel menampilkan pelakon Megat Sharizal sebagai watak utama yang berkisarkan tentang sindiket memperdagangkan manusia serta pendidikan kanak-kanak.
Berani mengambil risiko, kata Areel dia juga mahu lari daripada pandangan skeptikal sesetengah pihak yang hanya melihat watak hero sesuai dibawakan oleh pelakon lelaki bertubuh sasa.
“Dia (Megat) ada keunikan tersendiri. Megat sudah lama berada dalam industri dan saya nampak dia boleh melakukan babak aksi ketika berlakon dalam filem saya sebelum ini.
Memang ada risiko yang perlu diambil namun kita perlu berani dan percaya kepada hasil yang diberikan. – Agensi
