Tuesday, February 11, 2025
23 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pengebom AS pamer kekuatan di Korea Utara

    SEOUL, Korea Selatan, 3 Nov – Dua pengebom supersonik AS terbang di ruang angkasa Semenanjung Korea bagi latihan pengeboman yang juga memperlihatkan kekuatan kepada Korea Utara sebelum lawatan rasmi pertama Presiden Donald Trump ke Asia.

    Seorang pegawai tentera Korea Selatan hari ini berkata pengebom B-1B yang berpangkalan di Guam diiringi oleh dua jet pejuang F-16 Korea Selatan ketika latihan semalam di sebuah padang dekat pantai timur Korea Selatan.

    Latihan itu meniru serangan ke atas sasaran darat, tetapi tidak melibatkan senjata-senjata, menurut pegawai itu yang tidak mahu mendedahkan identitinya dengan alasan peraturan pejabat.

    Media kerajaan Korea Utara menyelar latihan itu sebagai ‘latihan serangan nuklear mengejutkan’ dan berkata ‘gengster-gengster seperti imperialis AS ‘ingin mencetuskan perang nuklear.

    Gambar fail pada 20 Jun 2017 menunjukkan pengebom B-1B Angkatan Tentera AS dan jet tempur Korea Selatan F-15K terbang di Semenanjung Korea, Korea Selatan. Dua pengebom supersonik AS terbang di ruang angkasa Semenanjung Korea bagi latihan pengeboman yang juga memperlihatkan kekuatan kepada Korea Utara sebelum lawatan rasmi pertama Presiden Donald Trump ke Asia. – AP

    Ancaman nuklear Korea Utara akan mungkin membayangi lawatan Trump ke Asia yang akan bermula Ahad ini di Jepun dan akan termasuklah persinggahan di Korea Selatan, China, Vietnam dan Filipina. Dalam beberapa bulan kebelakangan, Korea Utara telah menguji peluru berpandu balistik antara benua yang boleh sampai ke tanah besar AS dengan kemajuan seterusnya dan telah melancarkan ujian nuklear paling kuat. Ia juga melancarkan peluru berpandu jarak sederhana baru yang kuat di ruang udara Jepun dan mengancam akan melancarkannya ke arah Guam, pusat tentera dan wilayah Pasifik AS.

    AS telah memberi respons dengan menghantar aset-aset strategik ke rantau itu dengan lebih kerap bagi rondaan atau latihan. Tindakan itu telah mengundang kemarahan Korea Utara, yang menurut menteri luarnya pada September lalu, Korea Utara ‘mempunyai hak’ untuk mengambil tindakan balas, termasuklah menembak jatuh kapal terbang perang AS, meskipun ramai pakar meragui ia mempunyai niat sebenar itu atau mampu berbuat demikian.

    Agensi rasmi Pyongyang, Agensi Berita Pusat Korea hari ini mengatakan “penghasut perang imperialis AS” seharusnya tidak bertindak dengan terburu-buru.” – AP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda