Gambar serahan BKN
BANDAR SERI BEGAWAN, 29 DIS – Seramai 17 individu terdiri daripada 11 lelaki dan enam perempuan telah ditahan dalam Operasi Sai-Gone yang dijalankan pada 19 dan 22 Disember lalu.
Menurut kenyataan Biro Kawalan Narkotik (BKN), hari ini, suspek utama merupakan seorang lelaki warga tempatan berusia 49 tahun, yang ditahan di Kampung Mumong, Kuala Belait.
Dia pernah menjalani hukuman penjara dan sebatan kerana melakukan kesalahan di bawah Akta Penyalahgunaan Dadah, Penggal 27 dan dibebaskan setelah menjalani hukuman pada tahun 2020, namun suspek tidak serik-serik untuk kembali bergiat dalam aktiviti haram tersebut.
Suspek dipercayai terlibat semula dengan aktiviti ini selepas keluar dari penjara bagi mengisi kekosongan serta memenuhi permintaan pasaran dadah syabu di Daerah Belait berikutan kejayaan BKN berjaya menumpaskan sindiket-sindiket dadah syabu melalui operasi Bulls Eye, Black Widow, Ice Sibling dan Pirates.
Suspek utama tersebut akan didakwa di bawah Seksyen 3A Akta Penyalahgunaan Dadah (APD), Penggal 27 iaitu atas kesalahan memiliki dadah terkawal bagi tujuan mengedar melebihi 100 gram (g) yang membawa hukuman gantung hingga mati.

Operasi yang dijalankan oleh BKN telah menyasarkan beberapa buah tempat yang aktif menjalankan aktiviti penjualan dadah di Kampung Mumong dan Kampung Panaga di Daerah Belait.
Hasil operasi itu telah berjaya merampas dadah jenis syabu dengan berat keseluruhan 273.91g, dadah jenis ganja seberat 12.07g serta wang tunai berjumlah $2,088 dan
RM2,744.
Dadah syabu yang dirampas dianggarkan bernilai lebih $50,000 dan dapat digunakan oleh kira-kira 2,730 orang penagih dadah.
Sehubungan itu, BKN mengingatkan bahawa pihaknya ini tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan yang tegas terhadap sindiket atau individu yang menjalankan aktiviti haram tersebut demi menjaga keselamatan serta keharmonian masyarakat di negara ini.
Di kesempatan ini juga, BKN merakamkan ucapan penghargaan kepada agensi-agensi perisikan keselamatan dan penguatkuasaan negara ini atas bantuan dan kerjasama yang diberikan ke arah menjayakan operasi berkenaan.