Oleh Nurdiyanah R.
SABAH – Tidak kira jauh atau dekat sebuah perjalanan itu pastinya terselit sebuah kemanisan jika kita benar-benar menghargainya.
Apa yang perlu diketahui bahawa liku-liku perjalanan itu sungguh mematangkan diri atau menjadikan seseorang itu lebih dewasa lebih-lebih lagi dalam menempuhi pelbagai situasi mendatang.
Hakikatnya, apabila berbicara mengenai detik pengalaman melancong, ia sememangnya bergantung kepada penghayatan yang disemai dalam jiwa peribadi insan itu sendiri sama ada ia sekadar untuk bersantai semata-mata ataupun bagi meluaskan pandangan sekali gus menambahkan ilmu pengetahuan.
Dengan kata lain, semakin banyak kita meneroka, semakin banyak yang dapat dipelajari sehingga mampu mencetuskan sinar inspirasi bagi diri sendiri bahkan juga kepada orang lain.
Begitulah yang mampu penulis ungkapan setelah berpeluang menyertai pengalaman lawatan pengenalan ke Kota Kinabalu, Kudat dan Kota Belud, Sabah di bawah kendalian Tourism Malaysia Brunei Darussalam dengan kerjasama Sabah Tourism Board, penghujung November lalu.
Pastinya di mana pun keberadaan penulis bersama tujuh orang anak watan berjiwa jelajah, terdiri daripada golongan pengamal media dan agensi pelancongan tempatan merangkumi Rozman, Sharon, Hana, Zarif, Chai, Sim dan Bryan di Negeri di Bawah Bayu itu, bagaikan ‘setiap detik adalah perjalanan, setiap perjalanan adalah pelajaran’.
Perlunya sikap dan persepsi positif
Berkongsi sejenak pandangan peribadi, baru-baru ini, Rozman menyatakan bahawa lawatan selama empat hari tiga malam itu telah banyak membuka mata dan jiwanya akan sumber kekuatan yang ditampilkan oleh masyarakat Sabah sendiri lebih-lebih lagi dalam mengetengahkan beberapa destinasi pelancongan berasaskan komuniti.
“Berkesempatan menjejakkan kaki di beberapa tempat pelancongan berasaskan komuniti di Kota Belud antaranya Polumpung Melangkap View Camp Site dan Tambatuon Eco-Tourism sememangnya satu fakta yang sungguh menarik untuk diketahui.
“Banyak sokongan padu daripada kalangan penduduk setempat khususnya dari pelbagai daerah di Sabah mahupun masyarakat Semenanjung Malaysia yang berkunjung bersama-sama menikmati suasana keindahan panorama alam puncak Gunung Kinabalu dan Anak Kinabalu sambil merasai pengalaman berkhemah, bermandi-manda di aliran sungai yang sejuk dan bersih dan juga bersantai seketika,” kongsinya.
Bersatu memainkan peranan
Dalam hal ini, Rozman turut mengemukakan pandangan bahawa kita perlu lebih analitis untuk merungkai persoalan mengapa ramai masyarakat Brunei lebih memilih untuk mengabaikan apa yang ditawarkan di negara mereka sendiri.
Jadi kita perlu mengakui kebenaran bahawa teknologi merupakan bahagian utama dalam kehidupan kini dan kebanyakan daripada kita tidak boleh berpisah daripada penggunaannya sehingga boleh menimbulkan rasa kebosanan tanpanya.
“Maka satu hal yang perlu kita tekankan adalah mencari keseimbangan dalam kehidupan sehari-hari itu begitu penting. Di sinilah sektor kerajaan dan swasta memainkan peranan untuk bersatu dan sama-sama mengenal pasti atau mewujudkan aktiviti yang menggalakkan rasa cinta terhadap komuniti dan alam sekitar sambil memanfaatkan teknologi dengan sebaik-baiknya,” jelasnya lagi.
Cintai tempat kelahiran sebaiknya
Sharon turut berkesempatan mengongsikan pandangannya kepada penulis bahawa kesatuan dan keramahan penduduk Sabah merupakan antara yang cukup menginspirasikan lebih-lebih lagi setelah menyaksikan para penduduk di kawasan daerah paling utara di Sabah, iaitu Kudat, dan sekitarnya di mana golongan komuniti di sana sangat aktif bekerjasama memajukan kampung asal mereka dengan mengusahakan aktiviti pelancongan tidak kiralah golongan veteran, dewasa mahupun belia.
“Mereka hidup dengan kesederhanaan namun penuh nilai kekeluargaan. Ketulusan semangat berdikari begitu jelas terpancar pada wajah-wajah mereka dalam sama-sama mengusahakan sektor pelancongan dan perekonomian mereka.
“Demi menyara kehidupan keluarga, golongan nelayan dilihat gigih mengangkat hasil tangkapan sumber laut untuk dijual kepada penduduk setempat setelah berlabuhnya kapal-kapal berdekatan perairan Kafe Abang J, Kampung Nelayan, Kudat pada ketika itu.
“Selain itu, kemahiran warisan nenek moyang dan nilai-nilai tradisi tetap mereka martabatkan untuk tatapan generasi pada masa kini meskipun zaman silih berganti,” kongsinya.
Lawatan berkenaan telah diketuai oleh Pemangku Pengarah Tourism Malaysia Brunei Darussalam, Latifah binti Dato Haji Ismail yang disertai bersama Eksekutif Pemasaran, Tourism Malaysia Brunei Darussalam, Pengiran Haji Noorazemy bin Pengiran Haji Othman selaku pegawai projek bagi lawatan rombongan tersebut.
Sebuah perjalanan yang dimulai dengan perkenalan dan berakhir dengan nilai persaudaraan pastinya menjadi bahagian daripada coretan memori terindah bersama.