Saturday, December 21, 2024
24.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pengendali Al-Nassr letak jawatan

    RIYADH, 18 SEPT – Kelab Arab Saudi, Al Nassr, yang dianggotai bintang bola sepak Cristiano Ronaldo, mengumumkan pemergian jurulatih Portugal, Luis Castro, kelmarin, sehari selepas pasukan itu memulakan kempen Liga Juara-Juara AFC dengan keputusan seri yang mengecewakan.

    Keputusan seri 1-1 menentang Al Shorta dari Iraq dalam kejohanan Asia pada Isnin menambah tekanan kepada permulaan perlahan musim domestik, di mana kontrak Ronaldo, 39, dijangka tamat pada musim panas akan datang.

    “Al Nassr boleh mengesahkan bahawa ketua jurulatih Luis Castro telah meninggalkan kelab,” menurut kenyataan yang dimuat naik di X.

    “Semua di Al Nassr ingin mengucapkan terima kasih kepada Luis dan kakitangannya atas dedikasi mereka selama 14 bulan lalu, serta mendoakan yang terbaik untuk masa depan mereka.”

    Castro, 63, merupakan jurulatih ketiga meninggalkan Al Nassr sejak ketibaan bersejarah Ronaldo pada awal 2023 melalui kontrak yang dilaporkan bernilai 400 juta euro untuk tempoh dua setengah tahun.

    Ronaldo, yang kariernya mencatatkan pelbagai kejayaan, masih belum memenangi sebarang trofi liga di Arab Saudi bersama Al Nassr, dengan satu-satunya gelaran yang diraih adalah Piala Juara-Juara Kelab Arab tahun lalu.

    Al Nassr, yang menamatkan musim Liga Pro Saudi lalu di tempat kedua, seri dua kali dalam tiga perlawanan pada permulaan musim baharu. – AFP

    Reaksi Luis Castro semasa perlawanan antara al-Duhail Qatar dan al-Nassr Arab Saudi di Stadium Antarabangsa Khalifa di Doha pada 7 November 2023. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda