Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 1 DIS – Jumlah kanak-kanak yang dirujuk ke Pusat Perkembangan Kanak-kanak (CDC) semakin meningkat setiap tahun, di mana pada tahun 2010, 400 kanak-kanak dirujuk ke Pusat CDC.
Jumlah tersebut terus melonjak kepada 957 pada tahun 2023, iaitu hampir 1,000 kanak-kanak.
Perkara itu dikongsikan oleh Ketua CDC selaku pengerusi jerayawara, Dr Hajah Mawarni binti Haji Abdul Hamid semasa menyampaikan ucapan alu-aluannya di Jerayawara CDC ‘Okay Kah Anakku?’ 2024, yang berlangsung di Pusat Membeli- belah OneCity, hari ini.
“Sejak beberapa dekad yang lalu, jumlah kelahiran kanak-kanak setiap tahun telah menurun dan secara purata, ia hanya kira-kira 6,300 setiap tahun dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
“Ini bermakna di antara semua kanak-kanak yang lahir setiap tahun, kira-kira 1,000 dalam 6,300 atau kira-kira 16 peratus akan memerlukan rujukan ke Pusat CDC,” jelasnya.
Katanya lagi, “Jumlah ini tidak termasuk kanak-kanak yang dirujuk ke hospital Kuala Belait.”
Apa yang membimbangkan adalah 55 peratus daripada 1,000 kanak-kanak atau 550 orang dirujuk disebabkan masalah bercakap atau kelambatan bertutur, yang mana kira-kira 25 peratus telah dirujuk kerana menunjukkan ciri-ciri autisme.
Beliau seterusnya menjelaskan, dengan mengamalkan tabiat banyak bercakap, bermain dan membaca buku kepada anak-anak, ibu bapa sebenarnya menggalakkan perkembangan otak mereka dengan cara serve and return.
“Ianya dapat merangsang sel-sel otak kanak-kanak untuk membuat jutaan perhubungan di antara satu sama lain dengan pesatnya,” tambah beliau.
Sementara itu, Dr Hajah Mawarni menjelaskan cabaran hebat yang dihadapi ramai ibu bapa menyebabkan ramai kanak-kanak pada masa ini kurang berpeluang untuk mendapatkan manfaat daripada dibawa bercakap, bermain dan dibacakan buku.
Beliau turut menjelaskan cabaran tersebut termasuk alat peranti ataupun skrin yang mana sekarang mudah diperoleh dan dicapai semua orang.
Menurutnya, kanak-kanak perlu belajar komunikasi secara bukan lisan seperti memahami ekspresi muka, bahasa tubuh badan, gerak isyarat dan sebagainya.
“Perlu ditekankan kebolehan berkomunikasi dan bertutur adalah penting dan berkait rapat dengan kebolehan berfikir dan pencapaian akademik,” tegasnya.
Selain itu, kanak-kanak juga perlu belajar menyelesaikan masalah melalui aktiviti bermain dan berinteraksi dengan alam sekeliling mereka.
Pembelajaran kanak-kanak berlaku dalam lima tahun pertama kehidupan setiap kanak-kanak, jelasnya, dan oleh itu lima tahun pertama ini seharusnya dimanfaatkan sebaiknya dan tidak disia-siakan dengan mendedahkan mereka kepada skrin.
Katanya lagi, “Pada awal tahun ini, Pusat CDC telah menjalankan penyelidikan kecil dalam kalangan kanak-kanak lima tahun ke bawah yang hadir ke Klinik Kesihatan Kanak-kanak dan Ibu-ibu Mengandung mengenai penggunaan skrin dan hasil dapatan amat mengejutkan dan membimbangkan.
“Adalah diakui bahawa penyelidikan yang dibuat tidak mampu membuktikan korelasi langsung di antara tabiat penggunaan skrin dengan meningkatnya jumlah kanak-kanak yang mengalami masalah perkembangan terutama sekali kelambatan bercakap dan bertutur,” jelasnya.
Beliau turut menegaskan orang ramai khusus para ibu bapa perlu tahu mengenai bahaya penggunaan skrin dalam kalangan kanak-kanak.
“Penggunaan skrin yang berlebihan dan tidak terkawal bukan saja akan menjejaskan perkembangan kanak-kanak sehingga boleh menjadikan mereka ketagih kepada skrin tetapi kesan negatif mungkin berterusan sehingga dewasa,” tambah beliau.
Beliau turut menegaskan, penggunaan skrin yang berlebihan juga boleh menyebabkan obesiti.
“Sebahagian besar masalah ini juga disebabkan terdapatnya ibu bapa yang ketagih kepada skrin tanpa disedari mereka.”
Dengan hasrat untuk memastikan perkembangan, kesihatan dan masa depan yang terbaik bagi kesemua kanak-kanak di negara ini, Pusat CDC dengan sokongan Kementerian Kesihatan melancarkan Garis Panduan Penggunaan Skrin Mengikut Umur di Negara Brunei Darussalam.
Dengan adanya garis panduan penggunaan skrin ini, ibu bapa akan lebih peka terhadap tanggungjawab mereka untuk mendidik dan memenuhi keperluan anak-anak mereka dan tidak membiarkan skrin di tangan mereka sendiri menjadi pendinding perhubungan di antara mereka dan anak-anak mereka.