Oleh Nurdiyanah R.
Gambar oleh Daniel Lim
BELAIT, 19 APRIL – Majlis Penyampaian Sijil Perlantikan bagi Penghulu Mukim Kuala Belait, Ketua Kampung Sungai Liang dan Ketua Kampung Labi II Daerah Belait telah diadakan di Kediaman Rasmi Pegawai Daerah Belait, hari ini.
Hadir selaku tetamu kehormat bagi menyempurnakan penyampaian sijil-sijil perlantikan ialah Setiausaha Tetap (Perbandaran dan Daerah), Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN), Awang Abdul Walid bin Haji Matassan.
Turut hadir ialah ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Awang Salleh bin Haji Othman selaku Penghulu Mukim Bukit Sawat, dan Yang Berhormat Awang Mohammad bin Abdullah@Lin Swee Ann selaku Ketua Kampung Bukit Sawat; Pemangku Pegawai Daerah Belait; Haji Amirol Hafidzin bin Haji Muhammad; pegawai-pegawai kanan KHEDN; penghulu dan pemangku penghulu mukim, ketua-ketua dan pemangku ketua-ketua kampung, serta ketua-ketua rumah panjang.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan doa yang diketuai oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid Daerah Belait, Awang Akup bin Haji Lamat.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Daerah Belait, menyatakan Haji Abdul Afiq bin Zainuddin telah dilantik selaku Penghulu Mukim Kuala Belait dan telah memulakan tugas beliau pada 1 April lalu setelah menamatkan perkhidmatannya di Jabatan Pengajian Islam. Manakala Awang Muhammad Haszrin bin Bagol dilantik sebagai Ketua Kampung Sungai Liang pada 30 April 2022 dan Awang Muhammad Nurazri bin Haji Abdul Mustafah telah dilantik sebagai Ketua Kampung Labi II pada 9 Januari 2023.
Pada majlis tersebut, sijil-sijil lantikan diserahkan kepada Penghulu Mukim Kuala Belait dan ketua-ketua kampung yang baharu, diikuti dengan pembacaan ikrar dan penandatanganan ikrar. Tetamu kehormat turut sekaligus merasmikan papan tanda bagi Ketua Kampung Sungai Liang dan Ketua Kampung Labi II, di mana kediaman Ketua Kampung Sungai Liang terletak di Jalan Pantai Sungai Liang, Kampung Sungai Liang; dan kediaman Ketua Kampung Labi II terletak di Kampung Terawan, Labi II.