Saturday, July 27, 2024
31.8 C
Brunei

    -

    Penglibatan aktif PGGMB dihargai

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 14 MEI – Dengan cabaran pendidikan masa kini, Kementerian Pendidikan mengalu-alukan sumbangan dan penglibatan aktif Persekutuan Guru-Guru Melayu Brunei (PGGMB) dalam sama-sama menggembleng tenaga untuk mengukuhkan sektor pendidikan negara.

    “Dengan pengalaman dan latar belakang PGGMB, sumbangan ini boleh diterjemahkan dalam bentuk sokongan perkembangan profesional guru-guru tempatan, melalui kerjasama dengan Kementerian Pendidikan khususnya Akademi Guru dan Kepimpinan Brunei Darussalam (BDLTA) dalam merangka program yang sesuai dalam mengukuhkan lagi profesionalisme guru-guru dan memupuk etika perguruan yang elok dihayati dalam perkhidmatan.”

    Harapan itu disuarakan oleh Setiausaha Tetap (Pendidikan Teras) di Kementerian Pendidikan, Dr Shamsiah Zuraini Kanchanawati binti Haji Tajudin dalam ucapannya semasa Majlis Pembukaan Rasmi Mesyuarat Agung Perwakilan PGGMB ke-73, Sesi 2022-2023 yang berlangsung di Dewan Sekolah PGGMB, Sungai Akar, hari ini.

    Beliau menambah bahawa kerjasama berkenaan adalah penting bagi memberikan
    suatu landasan untuk guru-guru generasi masa kini mendapatkan sokongan daripada mereka yang kaya dengan pengalaman dari segi nilai-nilai yang penting untuk mengukuhkan kedayatahanan dan kebolehan untuk berinovasi.

    Terdahulu dalam ucapannya, Dr Shamsiah Zuraini Kanchanawati berkata PGGMB sebagai pihak yang berkepentingan telah memainkan peranan penting bagi sama-sama membantu pihak kerajaan terutama dalam memberikan perkhidmatan pendidikan kepada anak-anak tempatan dan penduduk Negara Brunei Darussalam sejak ia didaftarkan secara rasmi pada 1939.

    Dalam usia matang yang sudah menjangkau 83 tahun, PGGMB telah melalui beberapa perubahan landskap pendidikan serta mencapai beberapa mercu tanda yang bermakna.

    Beliau berkata bahawa setentunya dengan pengalaman, pengetahuan dan komitmen ahli-ahli PGGMB, pihak persekutuan akan terus menyumbang ke arah merealisasikan

    Wawasan Brunei 2035 dalam melahirkan generasi yang berpendidikan tinggi, berkemahiran dan berjaya, mempunyai kualiti kehidupan yang tinggi serta memastikan ekonomi negara yang dinamik dan berdaya tahan.

    Dr Shamsiah Zuraini Kanchanawati menyampaikan ucapannya semasa Majlis Pembukaan Rasmi Mesyuarat Agung Perwakilan Persekutuan Guru-Guru Melayu Brunei ke-73, Sesi 2022-2023. kelmarin.
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...