Monday, November 18, 2024
25.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Penglibatan pembeli premium mampu tingkatkan eksport

    DUBAI, 17 NOV – Penglibatan pembeli premium pada Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) melalui Program Penyumberan Antarabangsa (INSP) dilihat sebagai landasan terbaik untuk mengembangkan perniagaan pempamer Malaysia ke peringkat antarabangsa.

    Pengerusi Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata sebagai contoh, MIHAS@Dubai 2024 yang julung kali diadakan di luar Malaysia bakal menampilkan seramai 20 pembeli premium dari seluruh dunia.

    “Penyertaan syarikat-syarikat dalam kategori pembeli premium ini akan menjadi platform kepada syarikat-syarikat pengeksport di Malaysia untuk menembusi pasaran-pasaran yang mungkin sukar ditembusi secara persendirian.

    “Barangkali dengan adanya program (INSP) seperti di MIHAS, ia dapat menjadi ‘batu loncatan’ kepada syarikat-syarikat Malaysia ini untuk melakukan lonjakan yang lebih tinggi (dalam perniagaan),” katanya pada sidang media bersempena program MIHAS@Dubai 2024 di sini, hari ini.

    Sementara itu, beliau berkata pengiktirafan yang diperoleh daripada badan-badan pengiktirafan antarabangsa seperti Guinness World Records, World Trade Promotion Organization (WTPO) dan UFI (the Global Association of the Exhibition Industry) telah memudah cara penganjuran MIHAS@Dubai 2024 ini.

    “Bila MIHAS sudah menjadi jenama (terkenal), bukan hanya pempamer mahu sertainya, tetapi pembeli juga mahu datang, sebab mereka tahu MIHAS ini sebuah program pameran perdagangan yang boleh dipercayai, berprestij dan telah mendapat pengiktirafan antarabangsa.

    “Jika MIHAS bukan jenama terkenal, agak sukar untuk kita dapatkan pembeli-pembeli tersohor dari luar negara untuk datang. Jika tidak dapat bawa pembeli, mana mungkin kita dapat melonjakkan eksport dalam kalangan pengeksport,” katanya. – Bernama

    Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican mengadakan sidang media mengenai pameran MIHAS@DUBAI yang bermula esok hingga 20 November di Pusat Dagangan Dunia Dubai. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda