Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    Penguat kuasa Unit SDT terus pantau premis perniagaan

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 31 OKT – Sebanyak 11 unit alat sukatan dan timbangan digunakan bagi tujuan perdagangan adalah sah, tepat dan berdaftar dengan Unit Sukatan dan Timbangan (SDT) selaras dengan Akta Sukatan dan Timbalan 1983, Penggal 151 dan Peraturan-peraturan (Penelitian) Alat-alat Sukatan dan Timbangan 1994 Ceraian 3(1) dan (2).

    Di samping itu, para penguat kuasa Unit SDT juga mendapati beberapa buah premis perniagaan tidak mempamerkan tanda berat bersih ke atas produk-produk berbungkus seperti gula, beras dan makanan kering yang lain.

    Tatacara membungkus dan menimbang juga dikongsi oleh penguat kuasa SDT kepada pihak pengurusan premis perniagaan.

    Hasil dapatan berkenaan adalah daripada operasi bersepadu bulanan daripada Bahagian Industri dan Ekosistem Perniagaan (IBE) melalui Unit Sukatan dan Timbangan (SDT) dan Jabatan Perancangan Ekonomi dan Statistik (JPES) melalui Jabatan Hal Ehwal Pengguna di bawah Kementerian Kewangan dan Ekonomi ke premis-premis perniagaan di Daerah Belait pada 18 Oktober lalu.

    Pemeriksaan adalah untuk memastikan bahawa perniagaan-perniagaan berkenaan mematuhi Akta Kawalan Harga dan Akta Sukatan dan Timbangan 1983.

    Para peniaga diingatkan supaya semua produk yang dipamerkan untuk dijual kepada pelanggan dikehendaki mempamerkan tanda berat bersih yang betul dan jelas. – GAMBAR OLEH SIM Y. H.

    Sementara itu, pihak JPES telah mengeluarkan satu notis amaran kepada sebuah premis perniagaan atas kesalahan menjual tujuh jenis produk minyak masak melebihi harga maksimum yang ditetapkan di bawah Akta Kawalan Harga, Penggal 142.

    Para peniaga diingatkan supaya semua produk yang dipamerkan untuk dijual kepada pelanggan dikehendaki dengan perintah di bawah Akta Sukatan dan Timbangan 1983 Penggal 151 untuk mempamerkan tanda berat bersih yang betul dan jelas.

    Kegagalan dalam mematuhi mana-mana syarat di bawah akta berkenaan adalah kesalahan dan boleh dikenakan denda sebanyak $500 atau penjara selama tiga bulan.

    Para peniaga dinasihatkan untuk mengoptimumkan penggunaan aplikasi mudah alih PenggunaBijak untuk mendapatkan harga maksimum terkini bagi barangan dikawal harga dan seterusnya memastikan barangan berkenaan tidak dijual melebihi harga maksimum yang ditetapkan.

    Para peniaga juga diingatkan untuk sentiasa memaparkan tanda harga dengan jelas dan tidak mengelirukan pengguna.

    Kegagalan mematuhi Akta Kawalan Harga, Penggal 142 dan peraturan-peraturan di bawahnya boleh dikenakan kompaun tidak melebihi $1,000 dan denda maksimum sebanyak $20,000 dan penjara lima tahun bagi kesalahan berulang.

    Orang ramai yang mempunyai pertanyaan lanjut, boleh menghubungi agensi-agensi berkenaan iaitu Unit SDT melalui e-mel, sdt@mofe.gov.bn atau talian 2334092 dan Jabatan Hal Ehwal Pengguna, JPES melalui Talian Darussalam 123 dan aplikasi mudah alih PenggunaBijak atau e-mel kepada aduanpengguna@jpes.gov.bn.

     

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...