Saturday, July 27, 2024
23.8 C
Brunei

    -

    Perkenan peralihan proses pengambilan tenaga kerja

    Oleh Salawati Haji Yahya –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 31 OKT – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah memperkenankan peralihan sebahagian besar proses pengambilan tenaga kerja daripada Suruhanjaya Perkhidmatan Awam ke kementerian-kementerian khusus bagi bahagian dua ke bawah.

    Baginda Sultan semasa berkenan mengurniakan titah sempena Sambutan Hari Perkhidmatan Awam ke-30, di Pusat Persidangan Antarabangsa, hari ini turut menekankan transformasi perkhidmatan itu adalah untuk meningkatkan akaun-tabiliti sekali gus mempercepatkan lagi pengisian kekosongan jawatan dengan memanfaatkan sepenuhnya Public Service Recruitment System atau PSCR yang sedia ada.

    Dalam titah tersebut, Baginda juga menekankan integriti perkhidmatan awam yang perlu sentiasa teguh dan tidak boleh roboh.

    “Kerana jika integriti roboh, maka pelbagai perkara negatif pasti akan berlaku seperti penyelewengan untuk kepentingan peribadi, rasuah dan sebagainya, sedangkan yang kita mahu ialah sebuah perkhidmatan awam yang bersih, amanah dan berkesan.

    “Maka ke arah itu, satu pindaan ke atas Peraturan-peraturan Am atau General Orders telah dilaksanakan dan akan dikuatkuasakan sedikit masa lagi.

    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah semasa berkenan dijunjung berangkat menyaksikan pameran sempena Sambutan Hari Perkhidmatan Awam ke-30. – GAMBAR MUIZ MATDANI
    Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan mengurniakan titah pada Sambutan Kemuncak HPA ke-30 di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, kelmarin. – GAMBAR MUIZ MATDANI

    “Pindaan ini dibuat adalah sesuai dengan keperluan semasa sambil terus menekankan kepada aspek kesaksamaan dan ketelusan dalam semua tindakan yang mana semua ini turut berkaitan dengan urus tadbir perkhidmatan awam sendiri,” tekan Baginda.

    Baginda turut bertitah, kementerian-kementerian juga dikehendaki untuk memperincikan penyediaan pelan masing-masing sebagai dukungan kepada kajian mengoptimumkan sumber manusia yang diterajui bersama oleh Jabatan Perdana Menteri dan Kementerian Kewangan dan Ekonomi ketika ini.

    Menurut Baginda, ia juga tidak terkecuali, kepada pembangunan kapasiti dan kompetensi setiap warga kerja dengan kemahiran, pengetahuan dan nilai asas yang diperlukan.

    Baginda menyatakan dalam tempoh tiga dekad ini pelbagai cabaran telah diharungi untuk menguji kedayatahanan perkhidmatan awam.

    Sehubungan itu, Baginda menegaskan setiap penjawat awam hendaklah sentiasa peka dengan perubahan semasa di samping tidak lupa mengharapkan petunjuk Allah SWT dalam melaksanakan apa juga tugas dan tanggungjawab.

    Penjawat awam juga disaran mencari idea-idea baharu sebagai penambahbaikan proses kerja, peraturan, sistem penyampaian dan juga penghasilan.

    “Begitu juga dalam kepimpinan, setiap pemimpin dikehendaki bijak dalam mempelopori potensi kerja, khasnya teknologi digital sebagai asas kepada transformasi perkhidmatan yang berim-pak besar,” tekan Baginda.

    Sempena 30 tahun Sambutan HPA, Baginda juga menyambut baik satu anugerah yang telah diperkenalkan dan menghargai sokongan Jawatankuasa Penilai Anugerah Penghargaan Khas Jasawan Perkhidmatan Awam kerana telah mengetengahkan Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien selaku tokoh besar ‘Arkitek Brunei Moden’.

    Antara peristiwa penting dalam pemerintahan Al-Marhum, titah Baginda, adalah termaktubnya Perlembagaan Brunei pada 1959 yang telah membawa Brunei Darussalam berkerajaan sendiri.

    “Legasi kepimpinan Al-Marhum telah melakar pelbagai kemajuan yang dapat dinikmati sehingga hari ini, khasnya bagi bidang utama seperti agama, pendidikan, pertahanan, pentadbiran awam dan kebajikan untuk rakyat dan penduduk.

    “Ternyata, kedayatahanan sektor awam negara ini adalah berpaksikan iltizam dan sumbangan Al-Marhum yang berimpak besar kepada kestabilan, kemakmuran dan kemajuan seumumnya.

    “Mengambil sukut baik sempena sambutan ke-30 tahun ini juga, Baginda turut memasyhurkan, Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien adalah ‘Tokoh Jasawan Negara’.

    “Semoga Allah SWT merahmati roh Al-Marhum dengan menghimpunkan Baginda ke dalam kalangan hambaNya yang salih,” titah Baginda.

    Pada akhir titah, Baginda mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan terima kasih atas usaha dan dedikasi yang dicurahkan dan semoga penganugerahan itu akan mencetuskan semangat motivasi dan sumber inspirasi kepada seluruh penjawat awam.

    “Penghargaan kepada setiap penjawat awam yang masih berkhidmat dan yang telah bersara atas sumbangan dan jasa bakti kepada pembangunan negara, dan kepada semua jawatankuasa yang terlibat dalam menjayakan Sambutan Hari Perkhidmatan Awam tahun ini,” titah Baginda.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Agensi cuaca Jepun keluarkan amaran strok haba

    TOKYO, 26 JULAI – Pegawai cuaca Jepun hari ini menggesa orang ramai mengambil langkah-langkah bagi mencegah strok haba ketika cuaca panas melampau dijangka melanda...