NEW YORK, 19 NOV – Heather Rhiannon Morgan, yang terkenal dengan julukan Crocodile of Wall Street dijatuhi hukuman penjara 18 bulan kelmarin kerana membantu suaminya mencuci (melabur dan menyembunyikan) sebahagian daripada 120,000 bitcoin yang dicuri daripada bursa mata wang kripto Bitfinex pada 2016.
Bitcoin yang dicuri itu kini bernilai berbilion dolar dan dikaitkan dengan satu daripada kecurian mata wang kripto terbesar dalam sejarah, lapor Xinhua.
Suaminya, Ilya Dutch Lichtenstein, dijatuhi hukuman penjara lima tahun pada Khamis selepas mengaku bersalah atas tuduhan bersubahat mencuci wang, yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun.
Morgan mengaku bersalah atas tuduhan pengubahan wang haram dan bersubahat untuk menipu kerajaan Amerika Syarikat, dengan masing-masing membawa hukuman penjara maksimum lima tahun.
“Walaupun Lichtenstein berkata dia bertanggungjawab sepenuhnya atas kecurian itu, kes berkenaan mendapat perhatian luar biasa disebabkan latar belakang Morgan yang berbeza dan unik,” lapor The Washington Post mengenai kes itu. – Bernama