Thursday, February 6, 2025
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pengundian diadakan bagi 2 ketua kampung, 1 penghulu

    Oleh Ak Zaki Kasharan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 29 JAN – Majlis pengundian dan pemilihan calon dua jawatan ketua kampung di Mukim Gadong A telah diadakan secara serentak di dua lokasi berasingan, hari ini.

    Pengundian dan pemilihan calon bagi Ketua Kampung Kawasan 2, STKRJ Tungku telah diadakan di Sekolah Rendah Tungku manakala bagi Ketua Kampung Rimba 1 pula diadakan di Masjid Raja Isteri Pengiran Anak Saleha.

    Majlis pengundian dilaksanakan dengan kertas undi dan menggunakan aplikasi mudah alih e-Undi PMKK.

    Calon tunggal bagi jawatan Ketua Kampung Rimba 1 ialah Awang Puspa Wira bin Haji Mohd Noor berusia 54 tahun dan telah bermastautin di kampung berkenaan selama 51 tahun yang mana pada ketika ini beliau berkhidmat sebagai Pemangku Ketua Kampung Rimba 1.

    Pada majlis pengundian tersebut, beliau telah mendapat 272 undi bersetuju, satu undian tidak bersetuju dan satu undian rosak. Manakala calon tunggal bagi jawatan Ketua Kampung Kawasan 2, STKRJ Tungku ialah Pengiran Mahmod Fakhrul Razi bin Pengiran Hamzah, 42 tahun, yang telah bermastautin di kampung tersebut selama 24 tahun.

    Undian sedang dikira pada hari terakhir pengundian bagi jawatan Penghulu Mukim Liang, kelmarin. – Gambar oleh Daniel Lim
    Antara penduduk kampung yang membuang undi di Sekolah Rendah Tungku.
    Penduduk Kampung Rimba 1 yang turut membuang undi di Masjid Raja Isteri Pengiran Anak Saleha.

    Beliau berkelulusan BDTVEC Diploma Kebangsaan dalam Jurusan Juruukur dari Maktab Teknik Sultan Saiful Rijal pada 2001 dan ketika ini beliau merupakan Pemangku Ketua Kampung Kawasan 2, SKTRJ Kampung Tungku di samping berkhidmat di Syarikat DST.

    Pada majlis tersebut, beliau telah mendapat 120 undi bersetuju, satu undian tidak bersetuju dan tiada undian rosak.

    Di Daerah Belait, majlis pengundian dan pemilihan calon penghulu Mukim Liang, Daerah Belait telah diadakan di Dewan Serba guna, Sekolah Menengah Pengiran Anak Puteri Rashidah Sa’adatul Bolkiah, Lumut, Daerah Belait, hari ini.

    Hadir pada majlis itu ialah Pemangku Pegawai Daerah Belait, Haji Amirol Hafidzin bin Haji Muhammad, ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Mohd Salleh bin Haji Othman yang juga merupakan Penghulu Mukim Bukit Sawat dan Yang Berhormat Awang Mohammad bin Abdullah@Lim Swee Ann selaku Ketua Kampung Bukit Sawat.

    Dua orang calon layak bagi jawatan penghulu Mukim Liang iaitu Awang Hasmi bin Haji Matasim berusia 41 tahun dan pada masa ini bertugas sebagai Pegawai Kerja di Pejabat Setiausaha Tetap (Pendidikan Teras) di Kementerian Pendidikan. Beliau berkelulusan Ijazah Sarjana Muda dalam Pengajian Brunei dari Universiti Brunei Darussalam.

    Calon kedua ialah Haji Mohamad Yamin bin Haji Abdul Ranni, berusia 37 tahun dan pada masa ini bertugas sebagai Penolong Pensyarah di Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan.  

    Beliau berkelulusan Ijazah Sarjana dalam Sastera Timur Tengah dan Pengajian Islam dari University of Exeter, United Kingdom.

    Seramai 309 orang penduduk Mukim Liang yang berdaftar dan layak mengundi telah mengundi calon untuk mengisikan kekosongan jawatan Penghulu Mukim Liang.

    Daripada jumlah tersebut, seramai 122 orang memilih Awang Hasmi bin Haji Matasim manakala 187 memilih Haji Mohamad Yamin dan tidak ada undi rosak.

    Keputusan pengundian yang diperolehi akan dibawa dan digunakan dalam menyediakan sokongan yang mana seterusnya dihadapkan kepada Lembaga Perjawatan, Disiplin, Tatatertib Penghulu Mukim dan Ketua Kampung, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri bagi proses yang selanjutnya.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda