Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    Pengurusan harta hibah perlu lancar, elak pertikaian

    Oleh Salawati Haji Yahya – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 18 OKT – Hubungan dan persetujuan ahli keluarga merupakan kunci kepada kelancaran dalam pembahagian harta hibah dan menjauhi pertikaian kerana harta hibah melibatkan banyak individu seperti ibu bapa, isteri dan anak.

    Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Negara Brunei Darussalam, Yang Arif Haji Awang Hassan bin Haji Awang Metali mengongsikan perkara tersebut semasa menyampaikan pembentangan khas dalam Program Pendidikan Syariah bertajuk Hibah: Satu Solusi Perwarisan Harta yang berlangsung di Dewan Tarbiah, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) hari ini.

    Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Pengiran Haji Isa bin Pengiran Haji Aliuddin, dan Ra’es KUPU SB, Dr Haji Adanan bin Haji Basar.

    Yang Arif Haji Awang Hassan turut menjelaskan pengurusan harta hibah perlu disegerakan jika berlaku kematian dalam ahli keluarga kerana harta yang melibatkan hibah perlu didahului sebelum masuk bahagian faraid dan ia memerlukan proses yang panjang.

    Selain itu, terdapat sembilan pihak yang boleh menghibahkan harta termasuk pasangan suami isteri yang tidak mempunyai anak, pasangan yang ada anak perempuan sahaja, pasangan yang mempunyai anak angkat, anak tiri dan anak luar nikah, suami yang berpoligami, isteri suri rumah sepenuh masa, pasangan yang mempunyai anak kelainan upaya, pasangan yang membeli rumah secara bersama, dan golongan yang mempunyai harta yang kompleks (banyak).

    Antara yang hadir pada program yang berlangsung di Dewan Tarbiah, KUPU SB, kelmarin. – Gambar oleh Salawati Haji Yahya
    Yang Arif Haji Awang Hassan semasa menyampaikan pembentangan pada acara tersebut. – Gambar oleh Salawati Haji Yahya

    Semasa pembentangan khas itu, ahli Jawatankuasa Tadbir Persatuan Siswazah Wanita Negara Brunei Darussalam, Hajah Dayang Donnaliza binti Abdullah Puasa telah bertindak selaku moderator.

    Program yang dianjurkan KUPU SB dengan kerjasama Persatuan Siswazah Wanita Negara Brunei Darussalam telah dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah beramai-ramai diketuai Pegawai Pelajaran, Pusat Ilmu Teras KUPU SB, Haji Nasrul Fakhri bin Haji
    Yahya.

    Program turut diisi dengan forum bertajuk Hibah: Satu Solusi Pewarisan Harta yang menampilkan empat ahli panel yang terdiri daripada Dekan Fakulti Pendidikan Sains Kemasyarakatan, KUPU SB, Profesor Madya Dr Mohd Shahril bin Ahmad Razimi; Profesor Madya Dr Hakimah binti Yaacob dari Fakulti Ekonomi dan Kewangan Islam, Universiti Islam Sultan Sharif Ali; Ketua Jabatan Siasah Syar’iyyah, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, Profesor Madya Dr Sharifah Hayaati binti Syed Ismail, dan Pegawai Pelajaran, Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Haji Mohammad Jaya bin Haji Metusin, selaku moderator forum.

    Forum tersebut diharapkan dapat memartabatkan kefahaman dan pengetahuan peserta-peserta program khususnya dan orang awam amnya berkaitan dengan tajuk yang dibincangkan.

    Selain itu, ia juga diharapkan mendukung hasrat negara bagi membentuk institusi keluarga yang mengamalkan cara hidup aman sejahtera lagi harmoni, menghayati agama dan meningkatkan ketakwaan dalam keluarga iaitu mentaati Allah SWT dengan mengerjakan suruhan dan meninggalkan segala laranganNya.

    Program itu telah dihadiri penjawat awam dari kementerian-kementerian Negara Brunei Darussalam, penuntut-penuntut dari institusi-institusi tinggi, ahli-ahli persatuan-persatuan serta ahli takmir dan Muslimah masjid.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Agensi cuaca Jepun keluarkan amaran strok haba

    TOKYO, 26 JULAI – Pegawai cuaca Jepun hari ini menggesa orang ramai mengambil langkah-langkah bagi mencegah strok haba ketika cuaca panas melampau dijangka melanda...