Thursday, April 25, 2024
27.9 C
Brunei

    -

    Pengusaha tempatan rangsang ekonomi negara

    Oleh Salawati Haji Yahya
    Gambar oleh Bahyiah Bakir

    BANDAR SERI BEGAWAN, 29 JUN – Pameran Minggu Ekonomi anjuran Kementerian Kewangan dan Ekonomi (MOFE) sempena Persidangan dan Pameran Pertengahan Tahun Brunei (Brunei MYCE) 2022 melibatkan sektor-sektor dan pemain industri utama termasuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang mengetengahkan produk masing-masing.

    Tinjauan media ke petak-petak pameran berkesempatan menemu bual Pengarah Urusan Ladang Pertanian Tiah Oyster Mushroom, Jayson Tiah yang berkongsi sedikit latar belakang ladang cendawan milik keluarga beliau.

    Katanya, ladang cendawan berkenaan telah beroperasi sejak lapan tahun yang lalu dan telah berjaya menghasilkan penuaian lebih 10 tan cendawan.

    “Setiap bulan penghasilan bagi cendawan ini akan mencecah 1 tan dan jumlah penghasilan cendawan menunjukkan peningkatan yang banyak tapi hanya sejak kebelakangan ini saja penghasilan sedikit menurun disebabkan keadaan cuaca,” jelasnya.

    Ladang Pertanian Tiah Oyster Mushroom merupakan pengedar tunggal di negara ini yang mana cendawan itu mendapat permintaan yang tinggi di restoran-restoran dan gedung perniagaan di negara ini.

    Jayson Tiah semasa ditemu bual ketika tinjauan media ke petak pameran Ladang Pertanian Tiah Oyster Mushroom, di Pusat Persidangan Antarabangsa, kelmarin.
    Dr Nur Rahman ketika menghadiri forum ekonomi yang diadakan baru-baru ini.

    Disebabkan permintaan yang tinggi, jelas beliau, setakat ini ladang berkenaan hanya mampu membekalkan dan memenuhi permintaan untuk pasaran Daerah Brunei dan Muara saja.

    “Walaupun pada masa ini penghasilan hanya mampu menampung pasaran di Daerah Brunei dan Muara saja, Ladang Pertanian Tiah Oyster Mushroom berharap akan meluaskan lagi pasaran cendawan ini secara berperingkat ke daerah lain supaya ia boleh dinikmati oleh seluruh rakyat dan penduduk di negara ini,” tambahnya.

    Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Ghanim International Corporation, Dr Nur Rahman semasa ditemui di petak pameran bruneihalalfood antara lain mengongsikan bahawa syarikat berkenaan merancang untuk meningkatkan pertumbuhan produktiviti pengeluar tempatan seperti buah-buahan dan sayur-sayuran, kerana ke-lompok makanan ini merupakan industri kedua terbesar di negara ini.

    “Di samping itu, kami sedang menyediakan kemudahan pembuatan dan pemprosesan serba guna Pembangunan Industri Makanan Brunei (BFID) yang akan menyediakan kawasan untuk kemudahan pembersihan dan pembungkusan.

    “Ini supaya dapat meningkatkan jangka hayat produk bagi membolehkan penghasilan berterusan dalam masa yang sama mengurangkan pembaziran kerana kami mahu meminimumkan pembaziran,” jelas beliau.

    Pada masa yang sama juga, jelasnya lagi, produk bruheihalalfood turut dipasarkan ke luar negara dan pada masa ini produk berkenaan telah berada di pasaran seperti Singapura, Dubai, Qatar dan Bangladesh.

    Beliau seterusnya mengumumkan, kilang mereka akan siap pada Ogos ini dan diharap ia akan berfungsi sebagai game changer untuk industri makanan yang bukan sahaja untuk Ghanim, PKS tetapi juga aspirasi negara.

    “Kami percaya bahawa ia akan membuat perubahan ketara dalam industri makanan di Brunei dari segi pembangunan ekonomi dan kepelbagaian,” jelasnya.

    Katanya lagi, matlamat mereka adalah untuk menghasilkan pilihan bagi produk import di mana semasa COVID-19, dapat dilihat beberapa rak kosong kerana kekurangan produk import dan dengan inisiatif itu, ia akan meningkatkan produk tempatan untuk menjamin keselamatan makanan dan pada masa yang sama menembusi pasaran luar negara.

    Selain mengunjungi dan melihat lebih dekat lagi produk dan perniagaan yang sama-sama berganding bahu memacu pertumbuhan ekonomi negara melalui pameran Minggu Ekonomi, orang ramai juga berpeluang menyertai beberapa aktiviti sampingan untuk memeriahkan minggu berkenaan.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gangguan bekalan elektrik, pelepasan air terawat Fukushima digantung

    TOKYO, 24 APRIL - Pelepasan air sisa terawat ke lautan dari loji nuklear Fukushima yang rosak telah digantung hari ini berikutan gangguan bekalan elektrik...