Friday, April 26, 2024
31.8 C
Brunei

    -

    Peniaga pasar tani, tamu perlu ketahui akta timbangan

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 29 JULAI – Para peniaga khusus di pasar-pasar, tamu dan pasar tani yang berniaga menggunakan alat sukatan dan timbangan disarankan untuk mengetahui akan kepentingan Akta Sukatan dan Timbangan 1983 Penggal 151 dan Peraturan-peraturan (Penelitian) 1994.

    Keperluan mengetahui akta itu adalah untuk meningkatkan kesedaran mengenai perlunya pemeriksaan dan pendaftaran alat tersebut, selain meyakinkan orang ramai khususnya para pelanggan semasa membeli-belah di tempat perniagaan yang menggunakan alat sukatan yang berdaftar.

    Saranan itu dikongsikan oleh Pengarah di Bahagian Industri dan Ekosistem Perniagaan, Kementerian Kewangan dan Ekonomi, Allen On semasa temu bual ringkas mengenai perkhidmatan pengujian bergerak ke atas alat timbangan yang dijalankan di Pasar Pantai Jerudong, hari ini.

    Allen turut mengongsikan pemeriksaan dijalankan oleh Unit Sukatan dan Timbangan (SDT) pada 12 bulan kebelakangan, adalah untuk memastikan semua alat sukatan dan timbangan diuji serta didaftar.

    Beliau berkata para peniaga berkemungkinan terlupa tentang keperluan untuk membaharui tarikh mansuh pendaftaran atau tidak mengetahui akan Akta Sukatan dan Timbangan yang memerlukan mereka untuk mendaftar alat sukatan dan timbangan yang digunakan untuk perdagangan.

    Pegawai dari Unit SDT ketika membuat pemeriksaan dan menguji alat sukatan dan timbangan semasa perkhidmatan bergerak diadakan di Pasar Pantai Jerudong.
    Allen On (kiri) menyarankan para peniaga khususnya yang menggunakan alat sukatan dan timbangan dalam perniagaan mereka untuk mematuhi Akta Sukatan dan Timbangan 1983.
    Pegawai-pegawai dari Unit Sukatan dan Timbangan membuat pemeriksaan dan menguji alat sukatan dan timbangan semasa perkhidmatan bergerak yang diadakan di Pasar Pantai Jerudong, kelmarin.

    Mengulas mengenai perkhidmatan bergerak, beliau berkata ia merupakan satu perkhidmatan yang ditawarkan oleh Unit SDT, untuk memastikan semua alat sukatan dan timbangan yang digunakan bagi perdagangan di Negara Brunei Darussalam adalah selaras dengan Akta Sukatan dan Timbangan 1983.

    Perkhidmatan bergerak itu, tambahnya lagi, adalah untuk memudahkan para peniaga di Brunei terutamanya di pasar dan tamu untuk mendaftar serta menguji alat yang digunakan untuk perdagangan.

    Ia juga sebagai salah satu tindakan untuk mempromosikan lagi ketelusan dalam menjalankan sebarang aktiviti perniagaan di Brunei.

    Dengan peningkatan aktiviti perniagaan di Brunei, jelasnya lagi, unit itu akan terus menjalankan operasi sekurang-kurangnya sekali sebulan di keempat-empat daerah di Negara Brunei Darussalam terutama di pasar-pasar dan pasar tani sebagai langkah proaktif unit berkenaan.

    Di samping itu, Unit SDT juga mengadakan perkhidmatan bagi para pembekal alat sukatan dan timbangan di Brunei yang mempunyai atau menjual lebih 10 unit alat sukatan dan timbangan untuk membuat temu janji dengan unit berkenaan, yang mana unit itu dapat berkunjung ke premis pembekal untuk mendaftar dan menguji alat yang dijual sebelum dibeli oleh para peniaga.

    Semasa perkhidmatan bergerak itu, Unit SDT telah mendaftarkan sebanyak 13 unit alat sukatan dan timbangan.

    Dalam tempoh 12 bulan kebelakangan, unit tersebut telah mengungkayahkan perkhidmatan berkenaan sebanyak 11 kali yang menumpukan kepada peniaga-peniaga yang menjalankan perniagaan di tamu, pasar dan gerai jualan bermusim bagi memastikan alat sukatan dan timbangan adalah berdaftar, sah dan tepat.

    Sebagai perkhidmatan tambahan, pembekal yang mempunyai 10 unit ke atas alat sukatan dan timbangan, bolehlah membuat temu janji bagi pemeriksaan dan penelitian ke
    atas alat milik syarikat pembekal di premis perniagaan masing-masing sebelum dipasarkan kepada pelanggan.

     

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Rundingan AS-China bermula dengan amaran tentang salah faham dan salah perhitungan

    BEIJING, 26 APRIL - Amerika Syarikat dan China bertelagah mengenai beberapa isu dua hala, serantau dan global yang menjadi perbalahan ketika Setiausaha Negara Amerika...