Thursday, February 13, 2025
27 C
Brunei

    Berita Terkini

    Peniaga, pengunjung gerai Ramadan sahut inisiatif tanpa beg plastik

    Oleh Nurdiyanah R. –

    Pastinya usaha mengurangkan penggunaan plastik dan sisa buangan plastik di negara ini memerlukan penglibatan semua orang termasuk pihak kerajaan, syarikat swasta, perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta pengguna awam.

    Walaupun hakikatnya penggunaan beg plastik bagaikan tidak dapat dipisahkan dalam kehidupan seharian kita, namun satu hal yang perlu kita ketahui apa sahaja penggunaan bahan plastik yang bukan sahaja beg plastik bahkan meliputi barangan plastik seperti penyedut minuman, pembungkus plastik dan sebagainya secara berlebihan tanpa dikawal boleh menyebabkan berlakunya pencemaran sisa plastik sehingga mendatangkan pelbagai kesan negatif terhadap alam sekitar.

    Tegas Izah selaku salah seorang pengunjung Gerai Ramadan Belia Stadium Negara Hassanal Bolkiah pada hari pertama pembukaannya semasa berkesempatan ditemui Media Permata sekali gus meluahkan sokongannya kepada Kempen Melaratkan Inisiatif Setiap Hari Tanpa Beg Plastik (NPBE+) yang dilaksanakan oleh Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi (JASTRe) dengan kerjasama Jabatan Belia dan Sukan, Big BWN Project dan Zero Waste Brunei di gerai tersebut sepanjang bulan Ramadan ini.

    “Dengan membawa beg kitar semula sendiri ini, hakikatnya ia amat memberi kemudahan kepada kami selaku golongan pembeli di gerai ini untuk membawa makanan dan minuman yang dibeli.

    “Pastinya kami menyokong sepenuhnya inisiatif kempen tanpa beg plastik ini agar ia dilaratkan bukan hanya di gerai ini bahkan di mana-mana di negara ini demi mengurangkan penjanaan sisa plastik dan pencemarannya sekali gus menyumbang kepada usaha negara untuk mencapai persekitaran yang lestari,” ujarnya lagi.

    Sementara itu, salah seorang pengusaha kuih malaya di bawah RinaRin Ent, Hatta Hassan turut mengungkapkan sebagai peniaga kecil, dia amat menyahut baik perkara tersebut yang mana ia juga memudahkan mereka untuk membawa makanan yang dibeli sekali gus boleh mengurangkan penggunaan beg plastik. Secara tidak langsung ia juga dapat memelihara alam sekitar.

    “Adalah diharapkan agar masyarakat di negara ini dapat mula untuk meningkatkan kesedaran menormalkan penggunaan tanpa beg plastik iaitu menggantikannya dengan penggunaan beg kitar semula dalam kehidupan seharian sebagai alternatif kepada plastik sekali guna yang juga boleh mengurangkan jumlah sisa pepejal di Brunei Darussalam,” ujarnya.

    Beliau juga turut tidak ketinggalan menyarankan kepada orang ramai khususnya pelanggan yang membeli dalam kuantiti yang banyak untuk membawa beg kitar semula mereka bagi sama-sama menyahut seruan mengurangkan penggunaan beg plastik pakai buang semata-mata untuk menjaga kesejahteraan alam sekitar.

    Izah (kiri) bersama dua orang ahli keluarganya membawa beg kitar semula bagi menyokong Kempen NPBE+ di Gerai Ramadan Belia Stadium Negara Hassanal Bolkiah kelmarin. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    Hatta Hassan semasa ditemui wartawan. – GAMBAR MUIZ MATDANI
    Penggunaan beg plastik bagaikan tidak dapat dipisahkan dalam kehidupan seharian kita. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    Suasana orang ramai semasa berkunjung di Gerai Ramadan Belia Stadium Negara Hassanal Bolkiah kelmarin. – GAMBAR MUIZ MATDANI

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda