Tuesday, February 11, 2025
23 C
Brunei

    Berita Terkini

    Peningkatan bilangan rumah hijau dorong kajian ke atas kesejahteraan pekerja

    CALIFORNIA – Dari dua hujung dunia yang bertentangan, keadaan tidak selesa yang dialami oleh Shamim Ahamed dan Purvi Tiwari semasa menjalankan penyelidikan PhD secara berasingan di dalam rumah hijau telah memberikan inspirasi kepada mereka untuk mengkaji isu pemanasan dalam struktur dalaman tersebut.

    Tiwari, seorang penyelidik di Universiti Pertanian Indira Gandhi di India, menyedari kesan pemanasan dalam rumah hijau merupakan masalah besar yang harus dikaji kerana dia sendiri mengalami kekejangan kaki, loya dan pening yang turut diceritakan oleh subjek petani yang dikajinya.

    Suhu luaran musim panas boleh mencecah 50 darjah Celsius di beberapa kawasan di India, di mana pekerja rumah hijau ‘merasa lemas di dalamnya’. Dia menambah bahawa dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini, rumah hijau telah menjadi trend apabila kawasan tanah yang ada semakin berkurangan akibat pembangunan.

    “Tempat kerja tidak sepatutnya membahayakan manusia,” katanya. “Jika kawasan tempat kerja itu membahayakan orang tersebut, itu bermakna ia tidak baik untuk bekerja. Ia harus diubah.”

    Di Amerika Syarikat (AS), banci pertanian terkini menunjukkan bilangan pekerja rumah hijau dan tapak semaian di AS telah meningkat sebanyak 16,000 dalam beberapa tahun terakhir. Namun, tiada peraturan persekutuan mengenai pemanasan walaupun rumah hijau menjadi semakin popular dan bilangan pekerja di dalamnya telah meningkat. Kajian mengenai pengalaman pekerja dan keadaan kerja, mahupun cara melindungi orang yang bekerja di dalam persekitaran yang panas dan lembap, juga sangat terhad. Tetapi ahli akademik dari seluruh dunia, seperti Tiwari dan Ahamed, cuba merapatkan jurang pengetahuan mengenai keadaan unik yang dihadapi oleh pekerja ladang rumah hijau.

    Bill Werner, Pengurus Rumah Hijau Utama Kolej Sains Pertanian dan Alam Sekitar di UC Davis, berjalan di antara tumbuhan dan pad penyejukan di rumah hijau di Kompleks Rumah Hijau Teras, UC Davis, California. – AP
    Werner menunjuk ke arah suhu di rumah hijau tersebut. – AP
    Air menitis ke dalam pad penyejukan di rumah hijau di Kompleks Rumah Hijau Teras, UC Davis, California. – AP
    Kipas tergantung di atas tumbuhan di rumah hijau berkenaan. – AP

    Bharat Jayram Venkat, profesor madya dan pengarah pengasas Heat Lab di UCSA, berkata bahawa “terdapat banyak penyelidikan mengenai pekerja pertanian, tetapi tidak secara khusus mengenai rumah hijau.” Kebanyakan penulisan memberikan tumpuan kepada memaksimumkan pertumbuhan dan pengeluaran tumbuhan di rumah hijau, bukan kepada kesihatan manusia.

    “Pada pandangan pertama, ia masuk akal – itulah sebenarnya tujuan rumah hijau. Tetapi sudah tentu awda memerlukan pekerja manusia di rumah hijau tersebut untuk menjadikannya berfungsi. Jadi awda perlu memikirkan tentang kesihatan manusia,” katanya.

    LEBIH BANYAK HABA, LEBIH RAMAI PEKERJA RUMAH HIJAU

    Tahun lepas merupakan tahun yang paling panas dalam sejarah dan bandar-bandar di seluruh AS berulang kali mengalami suhu tiga digit (dalam Fahrenheit). Menurut Jabatan Pertanian AS, bilangan ladang dan kaki persegi di dalam rumah hijau, serta nilai jualan rumah hijau dan tapak semaian, semuanya telah meningkat sejak 2017. Di samping itu, pengambilan pekerja pertanian melalui program H-2A pada dasarnya meningkat dua kali ganda berbanding tempoh dari 2010 hingga 2019.

    Venkat menjangkakan lebih banyak penyelidikan akan muncul apabila persekitaran tumbuhan dalaman yang dengan iklim terkawal mungkin akan menjadi lebih popular disebabkan oleh keadaan cuaca semasa yang semakin sukar untuk diramal dan lebih ekstrem. Undang-undang seperti peraturan haba dalaman yang diluluskan di California baru-baru ini dan peningkatan pekerja rumah hijau juga akan meningkatkan minat untuk mengkajinya, katanya.

    Jennifer Vanos, seorang profesor madya di Arizona State University, telah mengkaji had kelangsungan hidup dan kapasiti kerja fizikal dalam keadaan panas yang melampau.

    Menggunakan penyelidikan yang diketuai oleh seorang bekas rakan sejawat di Universiti Loughborough — yang menilai cara badan berfungsi di bawah suhu, kelajuan angin, kelembapan dan sinaran yang berbeza — Vanos dan rakan-rakannya mengkaji produktiviti pekerja pertanian di planet yang semakin panas.

    Antara penemuan mereka ialah semakin panas, semakin kurang produktiviti pekerja, yang mempunyai implikasi ekonomi. Dalam konteks pertanian, ini bermakna semakin sedikit hasil tanaman yang dituai sekali gus memerlukan semakin ramai pekerja.

    Kesimpulannya, hasil kajian mereka mendapati bahawa “untuk orang ramai bekerja dengan selamat, mereka perlu menurunkan kadar denyutan jantung mereka, yang bermaksud mengurangkan output kerja mereka untuk dapat melakukan tugas yang sama dalam persekitaran yang lebih panas,” kata Vanos.

    Tanda-tanda stress haba termasuk peluh berlebihan, kekejangan otot dan kadar degupan jantung yang cepat. Pendedahan kepada suhu yang melampau boleh meningkatkan risiko kecederaan akibat pening, lemah atau pengsan. Dan strok haba, penyakit berkaitan haba yang paling serius, boleh berlaku apabila badan berhenti mengeluarkan peluh dan suhunya meningkat.

    Apabila haba bergabung dengan kelembapan, peluh lebih sukar untuk menyejat bagi menyejukkan badan, mewujudkan situasi yang lebih berbahaya.

    “Apabila udara sudah benar-benar tepu dengan wap air, kapasiti peluh untuk menyejat sangat berkurangan,” kata Venkat. “Ini bermakna risiko penyakit berkaitan haba atau kematian akan menjadi lebih tinggi.”

    MENGISI JURANG PENYELIDIKAN

    Tiwari dan Ahamed kini telah menerbitkan kertas kerja mengenai persekitaran rumah hijau. Ahamed, yang kini merupakan penolong profesor di Jabatan Kejuruteraan Biologi dan Pertanian di University of California (UC) Davis, mengkaji risiko pendedahan kepada haba di rumah hijau berteknologi tinggi, membandingkan kesan terhadap pekerja apabila alat seperti bidai ‘kulit’ digunakan di rumah hijau untuk mengekalkan suhu lebih sejuk. Tiwari bercakap dengan pekerja di India yang mengalami simptom loya, mengantuk dan dehidrasi, dan dia serta pasukannya mendapati bahawa pekerja rumah hijau yang bekerja pada waktu tengah hari mempunyai kadar denyutan jantung purata 20 peratus lebih tinggi daripada mereka yang bekerja di ladang terbuka.

    Ahamed berkata penyelidikan Tiwari adalah agak jarang. Kebanyakan kajian yang wujud adalah di negara-negara di luar AS. Dan walaupun kajian adalah berasaskan AS, kadang-kadang sukar untuk mendapatkan saiz sampel yang sesuai untuk pekerja rumah hijau secara khusus.

    Sebagai contoh, penyelidik di UC Merced mendapati kadar kelahiran pramatang, berat badan anak damit yang rendah dan kecacatan kelahiran yang lebih tinggi dalam kalangan pekerja pertanian yang hamil secara keseluruhan – termasuk pekerja ladang dan tapak semaian. Satu kajian dari Iran mendapati kesan yang serupa terhadap pekerja rumah hijau di sana, tetapi pasukan UC Merced berkata bahawa mereka tidak mempunyai pekerja pertanian dalaman yang hamil yang mencukupi untuk melihat hasil tersebut dengan penuh keyakinan.

    Kekurangan dalam penulisan, kata Ahamed, telah membawa kepada “jurang besar mengenai bagaimana perkara-perkara ini boleh dikawal atau diseragamkan.” Dia berpendapat perlu ada kod bangunan berdasarkan pendedahan kepada sinar UV, haba dan kelembapan serta prosedur keselamatan untuk pekerja di dalam rumah hijau.

    Namun, dengan rangkaian teknologi rumah hijau yang begitu luas digunakan – daripada ladang mega kepada iklim mikro dengan ‘terowong tinggi’ atau ‘rumah gelung’ yang melibatkan plastik melengkung di atas sebidang kecil tanah – ia mungkin menjadi isu dalam melaksanakan penyeragaman.

    Bagaimanapun, dia berpendapat bahawa ia boleh dilakukan dengan mengambil kira jenis rumah hijau yang ada.

    “Untuk ini, mereka perlu menyiasat dan mencari beberapa cadangan,” kata Ahamed. – AP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda