ANKARA, 2 MAC – Lembaga Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (IFAB) kelmarin umumkan kelulusan peraturan baharu bagi menangani tindakan membuang masa oleh penjaga gol, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Dalam Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) ke-139 di Belfast, Ireland Utara, IFAB sebulat suara bersetuju untuk meminda peraturan mengenai sepakan percuma tidak terus.
Di bawah peraturan baharu itu, jika penjaga gol memegang bola lebih daripada lapan saat iaitu selepas kira detik visual selama lima saat oleh pengadil, pasukan lawan akan diberikan sepakan sudut.
Sebelum ini, penjaga gol dikehendaki melepaskan bola dalam tempoh enam saat, dan sekiranya gagal, pasukan lawan akan diberikan sepakan percuma tidak terus, namun peraturan ini jarang dikuatkuasakan.
Selain itu, IFAB turut memperkenalkan peruntukan baharu kepada protokol Video Bantuan Pengadil (VAR), yang membolehkan pengadil membuat pengumuman selepas semakan VAR atau semakan VAR yang dilanjutkan.
Dalam satu kenyataan, IFAB juga menekankan garis panduan baharu yang memperkukuh prinsip bahawa hanya kapten pasukan dibenarkan menghampiri pengadil dalam situasi tertentu. – Bernama/Anadolu
